
Kenyataan rasmi Arab Saudi berkata, serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dan bandar raya Mushait, Khamis adalah serangan ke-2 oleh pemberontak Houthi dalam tempoh 48 jam.
“Tentera udara Diraja Arab Saudi…berjaya memintas dan memusnahkan 5 dron yang dilancarkan oleh militia Houthi,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pertama menggunakan peluru berpandu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha yang mengakibatkan 26 orang cedera, semalam.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, serangan itu tidak boleh diterima dan melanggar undang-undang antarabangsa serta menjejaskan keamanan dan keselamatan Timur Tengah.
“Malaysia mengucapkan takziah kepada mangsa yang tercedera … selaku negara pencinta keamanan, Malaysia menggesa semua pihak supaya bersabar dan berharap konflik di rantau itu akan diselesaikan menerusi dialog dan saluran diplomatik,” kata kementerian.
Peluru berpandu yang dilancarkan militia Houthi mengenai balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dan mencederakan 26 orang, termasuk rakyat Yeman, India dan Arab Saudi.