
Beliau berkata perbincangan mengenai pindaan itu tidak perlu diperbesarkan lagi kerana kerajaan bertindak dalam lunas undang-undang ketika melantik Latheefa Koya.
“Pelantikan Latheefa mengikut akta itu. Tiada masalah mengenainya. Kuasa itu terletak pada Agong atas nasihat perdana menteri.
“Jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) tidak boleh mengatakan mereka tidak bersetuju kerana pelantikan telah dibuat. Ia merupakan perjanjian yang dilakukan,” katanya kepada pemberita di luar taklimat untuk ahli Parlimen dan senator oleh Ahli Parlimen untuk Tindakan Global Mengenai Perlindungan Lautan hari ini.
Ariff menjawab pertanyaan pemberita mengenai cadangan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming supaya akta SPRM yang ada sekarang dipinda.
Menurut Nga, pindaan tersebut mesti mengandungi suatu fasal supaya sebelum pelantikan dibuat, individu yang hendak dilantik memegang jawatan utama perkhidmatan awam harus terlebih dahulu dirujuk kepada PSC.
Pada 4 Jun, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan peguam Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa 1 Jun.
Latheefa mengambil alih tugas Mohd Shukri Abdull yang meminta supaya kontrak perkhidmatannya yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan dipendekkan.
Ariff berkata PSC hanyalah jawatankuasa penyelia am untuk melihat sama ada orang itu betul dan sesuai untuk tugas itu dan tidak mengesahkannya.
“PSC akan bermesyuarat Khamis ini tetapi saya tidak akan mencampuri peranan jawatankuasa itu,” katanya.