
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Mohd Haki Hasbullah berkata bagi mengelak perkara itu berterusan, mereka yang terlibat dinasihatkan membuat laporan polis.
“Peniaga yang menjadi mangsa ini berniaga di tepi jalan, dan kebanyakan tidak mempunyai mesin pengimbas ketulenan wang kertas. Kita percaya modus operandi suspek adalah untuk mengambil kesempatan, dan mendapatkan keuntungan dengan cara mudah,” katanya.
Beliau berkata walaupun mengalami kerugian, sehingga 10 malam semalam, kebanyakan mangsa terlibat masih tidak membuat laporan polis.
Haki berkata pihak polis memandang serius kes melibatkan penggunaan wang palsu, dan beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Sebelum ini, media sosial tular mengenai beberapa peniaga dikunjungi seorang wanita menaiki kereta yang menggunakan RM100 palsu untuk membeli ayam goreng dan keropok dengan jumlah kecil, dan dipulangkan baki pembelian kira-kira RM90.
Peniaga yang kemudiannya menyedari menerima wang palsu, dikatakan bertindak mencari wanita terbabit sehingga ke Kijal, namun tidak berjaya mengesannya.
Salah seorang peniaga dikenali sebagai Iskandar, bertindak memuat naik maklumat kejadian berkenaan di laman Facebook miliknya, dan turut menjadi viral di laman “Kemaman Tular”.
Insiden tersebut mendapat perhatian ramai dan dikatakan kejadian sama menimpa ramai peniaga di daerah berkenaan.