Doktor klinik swasta rancang ‘mogok’, tuntut kenaikan kadar rawatan

Doktor klinik swasta rancang ‘mogok’, tuntut kenaikan kadar rawatan

Mereka berkata caj rawatan kekal sama selama 27 tahun, manakala kos klinik melambung.

Doktor klinik swasta melancarkan mogok sehari kerana membantah keengganan kerajaan menaikkan kadar bayaran rawatan untuk hampir 3 dekad. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Sejumlah klinik swasta di seluruh negara dijadualkan ditutup hari ini sebagai bantahan terhadap keengganan kerajaan untuk menaikkan yuran rawatan sejak 27 tahun lalu.

Doktor klinik swasta yang melancarkan “mogok” itu akan membawa keluhan mereka kepada Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam perjumpaan di Putrajaya petang nanti.

Kementerian Kesihatan mengesahkan sesi “town hall” itu akan berlangsung pada 2 petang.

Bantahan doktor klinik swasta berpaksi kepada keengganan Kabinet menaikkan yuran konsultasi daripada RM10 kepada RM35.

Kenaikan itu disifatkan amat kecil berbanding kadar RM35 sehingga RM125 yang dikenakan hospital swasta.

“Mogok” sehari oleh doktor swasta bermakna mereka akan menutup klinik hari ini untuk menghadiri perjumpaan dengan Dzulkefly. Mereka tidak akan mengupah doktor pengganti seperti lazimnya.

Notis menggesa klinik swasta menyertai bantahan itu tular di media sosial.

Laman web Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial memetik Dr Yek Sing Chee dari Ipoh sebagai berkata, beliau memberikan notis awal kepada pesakitnya mengenai penutupan klinik hari ini.

Beliau bercadang menghadiri sesi “town hall” dengan Dzulkefly bersama puluhan doktor lain dari Ipoh yang senasib dengannya.

“Kami mahu menyuarakan rasa kesal kami terhadap Kementerian Kesihatan yang berlaku tidak adil terhadap pengamal perubatan seperti kami,” kata beliau.

Di Alor Setar, Dr Tan Poh Teng dipetik berkata, beliau tidak akan menghadiri perjumpaan itu, namun akan menutup kliniknya untuk membantah kadar rendah bayaran konsultasi yang dibenarkan kerajaan.

Tan berkata, klinik swasta menanggung kos pengurusan tinggi dengan gaji pembantu klinik naik 3 kali ganda dalam tempoh 20 tahun, iaitu RM300 kepada RM1,200 sebulan.

Kos insurans untuk pengamal perubatan dan membuang sisa perubatan juga melambung, kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.