
“Kementerian ini tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan-cadangan ini, tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenainya dan tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan untuk membina 2 lapangan terbang baru tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kuasa untuk menubuhkan atau menyenggarakan sesuatu aerodrom atau membenarkan mana-mana syarikat yang mempunyai lesen untuk menubuhkan, menyenggarakan dan mengendalikan sesuatu aerodrom adalah kuasa yang diperuntukkan kepada menteri pengangkutan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969.”
Kementerian Pengangkutan berkata, ketika ini, ia sedang merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Lepas.
Terdahulu, akhbar The Star melaporkan 2 syarikat mencadangkan pembinaan sebuah lapangan terbang di sebuah pulau tebus guna di luar perairan Nibong Tebal dan Parit Buntar, manakala satu lagi berhampiran Bandar Baharu di sempadan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Menurut laporan itu, jika salah satu cadangan itu dipilih, tanah terletaknya PIA yang dianggarkan bernilai RM7.2 bilion perlu diserahkan kepada pencadang berjaya yang akan menyebabkan PIA terpaksa ditutup.
Laporan itu mendakwa 2 cadangan itu sudah dikemukakan kepada pegawai kerajaan persekutuan, tetapi ia tidak memberikan butiran spesifik.
Kerajaan Pulau Pinang dilaporkan berkata, ia tidak tahu mengenai rancangan itu, tetapi Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow hari ini mengalu-alukan sebarang cadangan membangunkan sebuah lapangan terbang baru di Pulau Pinang atau utara Semenanjung, selagi ia tidak menjejaskan PIA atau ekonomi negeri itu.
Pada 3 Mac lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, kerja pembesaran dan menaik taraf PIA bagi menampung pertambahan kapasitinya daripada 6.5 juta setahun kepada 16 juta penumpang setahun akan dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta pada kos RM1.2 bilion.
Chow pada 29 April lalu berkata, projek pembesaran dan menaik taraf PIA akan diketuai konsortium Singapura yang membina Lapangan Terbang Changi di negara itu.
Katanya, Consortium CPG Consultants Pte Ltd dan AHS Architects Sdn Bhd dilantik sebagai perunding projek itu menerusi tender terbuka Malaysia Airports Holdings Berhad pada 15 Februari lalu.