Apa jadi pada ‘pasukan petugas’ diumumkan Muhyiddin, soal keluarga Pastor Koh

Apa jadi pada ‘pasukan petugas’ diumumkan Muhyiddin, soal keluarga Pastor Koh

Susanna Koh berharap pasukan petugas akan dianggotai individu 'tidak berat sebelah' untuk membuka semula kes kehilangan suaminya.

Susanna Liew berkata, pasukan petugas khas perlu diberikan tempoh masa tertentu untuk menyiapkan siasatan dan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa kepada keluarganya.
PETALING JAYA:
Keluarga Pastor Raymond Koh berharap kerajaan akan mengambil tindakan susulan ke atas pengumuman penubuhan sebuah pasukan petugas khas mengenai kesnya, susulan penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pada April lalu.

Tetapi, Susanna Liew yang suaminya diculik secara misteri pada 2017, berkata beliau tidak mendapat sebarang butiran mengenai pasukan petugas itu selain pengumuman Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin seperti dilaporkan media.

“Juga, tiada kenyataan rasmi oleh menteri. Oleh itu, kami tidak tahu terma rujukan, komposisi, kuasa dan sebagainya mengenai pasukan petugas itu. Kita hanya boleh kata apa yang kita harapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan petugas itu patut dianggotai pegawai polis “tidak berat sebelah” dan wakil dari Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kumpulan aktivis yang memantau secara dekat inkuiri Suhakam.

Katanya, ia patut “membuka dan menyiasat semula” kes orang hilang berbanding “mengkaji laporan itu”.

Pada 23 Mei lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, Kementerian Dalam Negeri mengambil serius penemuan inkuiri Suhakam yang menyatakan Koh dan aktivis berpangkalan di Perlis, Amri Che Mat menjadi mangsa “kehilangan paksa” membabitkan anggota polis Cawangan Khas.

“Laporan sudah diserahkan kepada kami dan kami sudah melihatnya. Ada beberapa perkara dibangkitkan yang kami pertimbangkan sebagai serius, khasnya pembabitan polis dalam kehilangan 2 orang ini.”

Muhyiddin berkata, “6 atau 7” orang akan menganggotai pasukan petugas itu dan calonnya sudah dikenal pasti untuk mengetuai pasukan itu.

Koh diculik pada 13 Februari 2017 di Petaling Jaya, manakala Amri hilang pada 24 November 2016, selepas meninggalkan rumahnya di Kangar.

Koh didakwa menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam, dakwaan yang dinafikan keluarganya, manakala Amri dilaporkan cenderung kepada ajaran Syiah yang dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Liew berkata, pasukan petugas itu perlu mempunyai tempoh masa tertentu untuk menyiapkan tugasnya dan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa kepada keluarganya.

“Sekarang sudah melebihi 847 hari sejak Raymond hilang dan lebih 928 hari sejak Amri hilang.

“Kami berharap ia tidak mengambil masa lama sebelum Raymond dan Amri dikesan serta penjenayah itu dibicarakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.