Umno Johor bidas laporan dakwa parti itu dapat layanan istimewa daripada Sultan Ibrahim

Umno Johor bidas laporan dakwa parti itu dapat layanan istimewa daripada Sultan Ibrahim

Mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) ataupun parti politik boleh memohon untuk mengadap Sultan Johor melalui saluran rasmi.

Pemimpin Umno Johor berkata, kunjungan bersempena sambutan Aidilfitri ke Istana Johor semalam adalah kerana mereka tidak dapat hadir bersama-sama pemimpin kerajaan negeri dan parti politik lain sebelum itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno Johor membidas laporan sebuah portal berita tempatan bahawa parti itu mendapat undangan khas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena sambutan Aidilfitri.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, hakikatnya Umno Johor sendiri yang memohon untuk menghadap Sultan Ibrahim.

“Berdasarkan permohonan tersebut, Tuanku berkenan untuk menerima menghadap Badan Perhubungan Ummo Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

“Namun perkara ini dicemarkan oleh fitnah jahat yang dikeluarkan sebuah portal berita tempatan yang bersumberkan perisik yang tidak sahih,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) ataupun parti politik boleh membuat permohonan untuk mengadap kepada Sultan Ibrahim melalui saluran rasmi.

“Laporan sebuah portal tempatan itu yang berbentuk fitnah perlu dijauhkan agar tidak menyinggung perasaan, terutamanya Sultan Johor.

“Laporan itu perlu diturunkan dan seterusnya permohonan maaf dibuat oleh penulis,” katanya.

Semalam, seorang pegawai Istana Johor menolak tanggapan bahawa kunjungan pimpinan Umno negeri menghadap Sultan Ibrahim sebagai satu perkara luar biasa.

Beliau berkata, pemimpin Umno meminta untuk menghadap Sultan Ibrahim disebabkan tidak dapat hadir ke majlis rumah terbuka Istana Johor Khamis lepas bersama-sama dengan pemimpin kerajaan negeri dan parti politik lain.

Pemimpin Umno Johor berkata, kunjungan bersempena sambutan Aidilfitri ke Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru semalam adalah atas permintaan parti itu sendiri kerana tidak dapat hadir sebelum itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.