PH Sarawak mahu sambutan Hari Malaysia tahun ini diadakan di Kuching

PH Sarawak mahu sambutan Hari Malaysia tahun ini diadakan di Kuching

PH Sarawak sebulat suara mencadangkan kepada Kabinet supaya sambutan Hari Malaysia tahun ini diadakan di negeri itu.

Sambutan Hari Malaysia tahun lepas yang diadakan di Kota Kinabalu. (Facebook pic)
KUCHING:
Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan mencadangkan kepada Kabinet persekutuan agar sambutan Hari Malaysia, yang jatuh pada 16 Sept depan, diadakan di negeri ini, kata pengerusinya Chong Chieng Jen.

Chong, yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata, mengadakan sambutan peringkat kebangsaan itu di sini juga dilihat seiring dengan semangat Perjanjian Malaysia (MA63) dan kepentingan pelaksanaannya.

“Ini signifikan sebagai simbol hari berkenaan, 16 Sept, sebagai sambutan peringkat kebangsaan oleh kerajaan persekutuan.

“Sambutan peringkat kebangsaan yang pertama oleh kerajaan PH diadakan di Sabah pada tahun lepas, melibatkan seluruh Kabinet,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sarawak di ibu pejabat DAP di sini, semalam.

Turut hadir ialah pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang juga menteri kerja raya; pengerusi Amanah Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi dan pengarah operasi PPBM Sarawak, Zakaria Bujang.

Chong, yang juga pengerusi DAP Sarawak berkata, PH negeri pada mesyuarat semalam sebulat suara membuat keputusan untuk mencadangkan perkara itu kepada Kabinet.

Ketika sambutan Hari Malaysia tahun lepas di Kota Kinabalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama adalah selaras dengan MA63, yang kemudian melihat beliau membentangkan Pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan pada 9 April.

Bagaimanapun, rang undang-undang itugagal mendapatkan sokongan 2/3 majoritidi Dewan Rakyat, terutama daripada ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.