Songkla: Lelaki dipercayai pengedar dadah mati ditembak

Songkla: Lelaki dipercayai pengedar dadah mati ditembak

Menurut sumber tentera, suspek pernah ditahan polis kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah tahun lepas.

Suspek yang memandu kenderaan pacuan 4 roda cuba mengelak pemeriksaan jalan raya dan melepaskan 1 das tembakan ke arah pasukan bertugas.
SONGKHLA:
Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah maut ditembak semasa cuba mengelak sekatan jalan pihak keselamatan Thailand di Saba Yoi, Songkhla, semalam.

Jurucakap tentera Bahagian ke-4, Pramote Prom-in berkata, kejadian berlaku ketika satu pasukan tentera membuat sekatan jalan raya di Kg Kola Muda, Jalan Yala-Saba Yoi, di sini apabila suspek, Matyuna Mor-ah, 42, tiba di kawasan itu pada pukul 6.40 petang (waktu tempatan).

Beliau berkata, suspek yang memandu kenderaan pacuan 4 roda dikatakan cuba untuk mengelak pemeriksaan itu dan melepaskan 1 das tembakan ke arah pasukan yang mengendalikan sekatan jalan raya berkenaan.

“Anggota tentera bertugas mempertahankan diri dengan melepaskan 1 das tembakan dan terkena bahagian belakang suspek. Suspek meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dan menambah tentera turut menemui 292 butir pil kuda, sepucuk pistol dan wang tunai berjumlah 34,000 baht.

Berdasarkan rekod, Pramote berkata suspek pernah ditahan polis kerana terlibat dalam kegiatan berkaitan penyalahgunaan dadah tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.