
Fariq Aqbal Omar, ditahan pegawai Angkatan Sempadan Australia (ABF) di Lapangan Terbang Melbourne di mana dadah dijumpai dalam seluar dan jaketnya pada Mei tahun lalu, lapor news.com.au.
10 bungkus heroin tulen itu bernilai lebih A$3 juta (RM8.7 juta), katanya.
Fariq, 34, dijatuhi hukuman penjara 5 tahun 6 bulan oleh Mahkamah Daerah Victoria pada April dan mesti berkhidmat sekurang-kurangnya 3 tahun sebelum dia layak dibebaskan dengan parol.
News.com.au melaporkan Pengarah Komanwel bagi Pendakwaan Awam memohon rayuan terhadap hukuman tersebut, mengatakan ia terlalu ringan.
Menurut portal berita itu, Aqbal ditahan selepas pegawai ABF curiga dengan kelakuannya di lapangan terbang dan meminta dia dan rakannya kembali daripada bas mereka ke kawasan bagasi.
Dia kemudian berkata telah dibayar A$500 untuk import pakej tersebut, yang akan dikutip daripada seorang lelaki di bilik hotelnya.
Aqbal, yang telah berkahwin dan mempunyai 2 anak di Malaysia, berkata beliau berpendapat pakej itu ialah “shisha” atau tembakau, kata laporan itu. Dia tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ditahan.
Penalti maksimum bagi mengimport kuantiti komersial bagi dadah yang dikawal di sempadan adalah penjara seumur hidup, kata news.au.com.