Kenderaan berat dilarang guna lebuh raya hingga Isnin

Kenderaan berat dilarang guna lebuh raya hingga Isnin

PLUS berharap langkah tersebut akan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Media melaporkan, polis mencatatkan 176 kematian dengan 23,263 kenderaan terlibat dalam kemalangan sejak ia melancarkan Op Selamat 15 pada 29 Mei.
PETALING JAYA:
PLUS Malaysia Bhd (PLUS) mengesahkan bahawa Kementerian Pengangkutan mengharamkan kenderaan berat menggunakan lebuh raya bermula hari ini hingga esok.

“Kami berharap langkah ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama di laluan mendaki,” kata ketua pegawai operasi PLUS Zakaria Ahmad Zabidi dalam satu kenyataan.

Ini bukan kali pertama pihak berkuasa melarang kenderaan berat daripada menggunakan jalan raya.

Pada Februari, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang kenderaan berat – dengan berat 7,500 kg dan ke atas – termasuk kontena dan lori balak daripada menggunakan semua jalan semasa sambutan Tahun Baru Cina.

Zakaria juga menasihatkan pengguna supaya mendapatkan rehat secukupnya ketika memandu di lebuh raya dengan berehat seketika di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan lorong berhenti.

Beliau juga mengingatkan penunggang motosikal supaya memandu dengan selamat dalam perjalanan mereka pulang ke Kuala Lumpur kerana kejadian kemalangan maut melibat golongan itu di lebuh raya PLUS sangat tinggi berbanding kenderaan lain.

Awal hari ini, Bernama melaporkan bahawa polis mencatatkan 176 kematian dengan 23,263 kenderaan terlibat dalam kemalangan sejak ia melancarkan Op Selamat 15 pada 29 Mei.

Selangor mencatatkan angka kemalangan tertinggi sebanyak 4,403 diikuti Johor (2,511), Kuala Lumpur (2,033) dan Perak (1,356).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.