Ikut peraturan atasi krisis kepimpinan IDS, kata Tangau

Ikut peraturan atasi krisis kepimpinan IDS, kata Tangau

IDS ditadbir oleh ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab menentukan bagaimana institut itu dikendalikan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Wilfred Madius Tangau (kanan) pada satu majlis Hari Keluarga dan sambutan Hari Raya, hari ini.
KOTA KINABALU:
Apa-apa penyelesaian dalam krisis kepimpinan Institut Pembangunan Sabah (IDS) hendaklah mengikut peraturan dan kaedah sedia ada, kata Timbalan Ketua Menteri Wilfred Madius Tangau.

Tangau berkata, institut itu ditadbir oleh ahli lembaga pengarahnya yang bertanggungjawab menentukan bagaimana institut itu dikendalikan.

“Keadaan yang berlaku di situ bukanlah luar biasa. Oleh sebab ia ditadbir oleh lembaga, saya fikir ia akan diatasi dalam skop itu,” katanya hari ini.

Awal minggu ini dilaporkan bahawa pada 29 Mei lepas, lembaga pengarah IDS enggan mengesahkan kedudukan Johan Ariffin Samad sebagai ketua eksekutif institut berkenaan berikutan tamat tempoh percubaan beliau selama 6 bulan.

Isnin lepas, Johan pergi bertemu Ketua Menteri Shafie Apdal berhubung perkara itu dan mendakwa beliau dinasihatkan oleh Shafie supaya mengekalkan jawatannya.

Pengerusi IDS Simon Sipaun menjelaskan ia (tidak mengesahkan jawatan Johan) bukanlah keputusannya seorang, tetapi dibuat oleh lembaga pengarah institut berikutan pengundian yang dilaksanakan.

Semalam Shafie berkata, beliau akan mendengar laporan kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.

Katanya beliau mahu bertemu dengan Sipaun bagi membincangkan perkara itu secepat mungkin.

Tangau berkata, adalah baik isu itu dirujukkan kepada ketua menteri kerana tidak ada salahnya mendapatkan nasihat daripada pemimpin tertinggi Sabah.

“Agensi seperti IDS ada peraturan sendiri. Kita hormati itu. Itulah prinsip yang kita pegang dalam kerajaan baru sekarang,” katanya.

IDS adalah sebuah badan penyelidikan autonomi yang membantu kerajaan Sabah meneroka idea dan pendapat. Ia juga menganalisis cadangan dasar awam sebelum dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.