
Bermula daripada pusingan kelayakan, Joo Ven, 24, mengorak langkah dengan mengalahkan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin 25, 23, 21-16 untuk mara ke kelompok lapan terbaik selepas melakar kejutan mengalahkan pemain utama Hong Kong, Wong Wing Ki, di pusingan pertama semalam.
Bagaimanapun, Joo Ven, pemain ranking ke-72 dunia, berdepan tugas getir untuk mengekalkan momentum apabila dijadual menentang pemain utama kejohanan, Chou Tien Chen dari Taiwan esok.
Tien Chen, selaku pemain nombor 4 dunia, mengambil masa 42 minit untuk menempah slot suku akhir apabila menundukkan pemain Malaysia, Liew Darren, 21-17, 21-17.
Dalam pada itu, Peng Soon-Liu Ying mengambil 39 minit untuk menewaskan pasangan China, Ren Xiangyu-Zhou Chaomin, 21-19, 21-15.
Peng Soon-Liu Ying, selaku pilihan ke-3 kejohanan, akan berdepan dengan pilihan ke-6, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia.
Pasangan Indonesia itu terpaksa berentap sehingga rubber set sebelum mengatasi gandingan Taiwan, Wang Chi-Lin- Cheng Chia Ya, 21-18, 12-21, 21-11 untuk mara ke suku akhir.
Sementara itu, 4 lagi wakil negara tersingkir di pusingan kedua hari ini.
Selain Liew Darren, pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah bertungkus lumus selama 64 minit sebelum tunduk kepada bekas pemain nombor 1 dunia, Ratchanok Intanon dari Thailand, 25-23, 14-21, 11-21.
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula tewas kepada pilihan keenam, Han Chengkai-Zhou Haodong dari China, 21-17, 21-18 manakala beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas kepada psangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 18-21, 21-19, 20-22.