
PUTRAJAYA: Ibu Pejabat PKR sudah menerima surat pengunduran Latheefa Beebi Koya sebagai ahli parti itu, Isnin lalu, susulan pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru.
Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail berkata, surat tersebut melalui e-mel ditujukan kepada presiden parti, Anwar Ibrahim.
“Berhubung statusnya sekarang ketika saya memberi kenyataan ini, kami menganggap beliau bukan ahli parti,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana hari ini.
“Oleh kerana Anwar baru kembali dari Arab Saudi selepas menunaikan umrah, beliau tidak membaca e-mel tersebut,” katanya.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM untuk tempoh kontrak selama 2 tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.