Australia Barat tak mahu sisa Lynas, kata laporan

Australia Barat tak mahu sisa Lynas, kata laporan

Laporan memetik menteri Australia Barat tidak akan bersetuju dengan tuntutan Malaysia.

Menteri Perlombongan dan Petroleum Australia Barat, Bill Johnston. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Australia Barat (WA) tidak berganjak dalam pendiriannya untuk tidak menerima sisa radiasi rendah Lynas Coep dari Malaysia, tegas Menteri Perlombongan dan Petroleum, Bill Johnston.

Beliau memberitahu media Australia bahawa Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin akan membuang masa apabila dia ke Perth untuk membincangkan perkara itu.

Yeo, yang terus mendesak WA menerima kira-kira 450,000 tan sisa daripada pemprosesan nadir bumi yang disimpan di Gebeng, Pahang djadualkan bertemu Johnston pada 20 Jun ini.

Loji Lynas itu mengilang bijih daripada lombong nadir bumi di WA.

Australian Financial Review hari ini memetik Johnston sebagai berkata: “Mereka minta mesyuarat diadakan; itu terpulang pada mereka. Pendirian kita jelas. Kami tidak akan terima sisa yang sudah diproses dari mana-mana di dunia ini.

“Kami pengeksport bahan mentah yang besar dan bila ia diproses ia diproses di luar negara, ia perlu ditangani di luar negara.”

Menurut laporan itu, Lynas merancang membina sebuah loji “cracking” dan “leaching”, sama ada di lombong Mount Weld miliknya atau di pinggir Kalgoorlie di Goldfields, WA, untuk membuang radioaktif sebelum bahan nadir bumi dihantar ke Kuantan untuk pemprosesan hiliran.

Yeo pada 31 Mei lepas berkata Lynas masih perlu selesaikan isu sisa radioaktif dihasilkan di lojinya di Pahang sebelum ia dibenarkan untuk meneruskan operasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.