Aidilfitri dirai penuh semangat ukhuwah, keimanan

Aidilfitri dirai penuh semangat ukhuwah, keimanan

Ribuan warga asing di Malaysia turut serta dalam solat sunat Aidilfitri yang menunjukkan semangat ukhuwah dalam kalangan Muslimin.

Seorang kanak-kanak Rohingya menyertai warga Bangladesh dan pelarian Rohingya menunaikan solat sunat Aidilfitri di kawasan tanah lapang berdekatan Pasar Borong Selayang hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Umat Islam di negara ini menyambut ketibaan 1 Syawal dengan sembahyang sunat Aidilfitri di masjid dan surau seluruh negara dalam suasana keimanan dan penuh kegembiraan.

Ribuan warga asing di negara ini turut serta dalam sembahyang sunat Aidilfitri yang menunjukkan semangat ukhuwah dalam kalangan Muslimin.

Selepas bersolat sunat hari raya, setiap keluarga memulakan atur cara sambutan hari lebaran dengan menerima kunjungan sanak saudara dan rakan taulan, sementara pemimpin nasional dan negeri pula mengadakan rumah terbuka masing-masing.

Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara bersama kira-kira 10,000 jemaah.

Mereka tiba kira-kira 8.20 pagi diiringi Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad serta beberapa menteri Kabinet dan dif kehormat.

Sultan Abdullah kemudian ke Istana Negara untuk majlis ramah mesra dan santapan raya bersama anggota Kabinet.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud menunaikan solat sunat Aidilfitri di ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, di Kuala Pilah.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan isteri, Wan Hasni Wan Yusof serta barisan exco negeri.

Selesai solat sunat Aidilfitri, Tuanku Muhriz ke majlis istana terbuka Aidilfitri di Istana Besar Seri Menanti bagi menyambut 1 Syawal bersama kira-kira 5,000 rakyat.

Di TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu bersama Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.

Solat sunat yang diimamkan Mufti Terengganu, Zulkifly Muda turut dihadiri Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar, beberapa pemimpin negeri dan rakyat.

Selesai menunaikan solat sunat, Sultan Mizan berangkat ke makam diraja di sekitar masjid sama.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri, Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Adly Zahari menyertai kira-kira 10,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim di Bukit Palah.

Solat sunat itu dipimpin Imam Besar Masjid Al-Azim, Mohammad Hashim. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Omar Jaafar dan barisan exco negeri.

Khalil dijadual mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Melaka bersama pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Di JOHOR, kemeriahan Aidilfitri dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru yang dihadiri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan hampir 3,000 umat Islam.

Solat yang diimamkan Imam Besar Johor, Makhadzir Abdan itu turut disertai Tunku Mahkota JohorTunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sambutan terus dimeriahkan dengan Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Johor di kediaman rasminya di Saujana dari 9 pagi hingga 2 petang.

Di PAHANG, ribuan umat Islam termasuk Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang diiringi Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tanjung Api di Kuantan.

Sambutan hari raya di Pahang berlangsung dalam suasana sederhana kerana seluruh negeri masih dalam tempoh berkabung ekoran kemangkatan Sultan Ahmad Shah pada 22 Mei lalu.

Orang ramai khususnya dari Kuantan tidak melepaskan peluang berkunjung ke rumah terbuka anjuran Rosdy di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah sehingga 4 petang.

Di KELANTAN, Sultan Muhammad V menziarahi Makam Diraja Langgar di Kota Bharu sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi bersama ribuan jemaah.

Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, Menteri Besar, Ahmad Yakob, Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad dan exco negeri.

Sultan Kelantan kemudian ke Istana Balai Besar untuk menemui rakyat di Majlis Penghadapan.

Di KEDAH, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyertai ribuan jemaah lain menunaikan solat sunat Aidilfitri di Majis Zahir, Alor Setar, pagi tadi.

Berita lanjut menyusul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.