
Jalan raya akan mulai sesak dalam minggu ini apabila semua warga kota akan mula pulang ke kampug halaman bagi menyambut Aidilfitri.
Dalam hal ini aspek keselamatan perlu diletakkan sebagai keutamaan supaya anda sekeluarga selamat sampai ke destinasi yang ditujui.
Beberapa tips perlu diketahui sebelum pulang ke kampung sebagai persediaan untuk memandu pada jarak yang jauh.
Jauhi laluan memotong
Jika anda memandu di bahu kiri jalan atau di tengah-tengah laluan, peluang untuk anda tidak terjebak dengan kemalangan adalah sangat baik.
Kajian menunjukkan kemalangan banyak berlaku di laluan memotong (fast lane). Anda juga mempunyai peluang tinggi untuk terus menghimpit ke tepi bagi mengelakkan masalah yang besar jika berlaku sesuatu di tengah dan kanan jalan.
Liarkan mata anda ketika memandu
Liar memberi maksud menjegilkan mata. Menjegil memberi maksud yang lebih mendalam dan sesuai dikategorikan sebagai peninjauan serius (serius observation).
Anda bukan sahaja perlu melihat nombor plat kereta di depan, malah anda perlu lihat trafik yang terbentuk di depan kereta tersebut juga.
Ini dapat membantu anda melihat masalah di depan dengan lebih baik dan memberi peluang yang lebih untuk bertindak terhadapnya.
Berhati-hati dengan “blind spots”
Anda perlu perbetulkan cermin sisi (side mirror) dan “rearview mirror” untuk dapatkan pandangan yang betul-betul selesa untuk anda teliti.
Anda juga dinasihatkan sesekali memandang ke sisi jalan untuk menampung kekurangan yang ditunjukkan oleh cermin sisi anda.
Pemandu yang bijak akan sentiasa mengambil kira “blind spots” pemandu yang lain terutamanya pemandu trak yang besar.
Memandu dengan posisi stering pukul 9 dan 3
Mungkin tidak “macho” dipandang begitu, tetapi teknik asas yang diajar sekolah memandu ini mempunyai nilai yang cukup besar dari segi keselamatan memandu.
Rahsia disebalik teknik ini ialah anda mampu mengawal kenderaan anda sepenuhnya jika berlaku kemalangan secara tiba-tiba.
Awasi pemandu lain berdasarkan rupa dan keadaan kenderaan
Jika kereta di depan anda kelihatan tidak diservis dengan baik (asap hitam), secara tidak langsung ia menggambarkan ciri-ciri pemandu yang tidak teliti akan aspek keselamatan pemanduannya.
Jauhi juga pemandu yang suka memegang telefon bimbit ketika memandu.
Tahu had laju anda
Untuk ini, hukum fizik yang dipelajari semasa di peringkat sekolah sangat berguna untuk dijadikan benteng pemanduan yang lebih selamat.
Pastikan anda tahu keadaan kenderaan anda memecut dalam setiap keadaan (bagaimana keadaannya jika dipandu di selekoh yang tajam dari segi respons stering) dan tidak kurang juga memastikan masa tindak balas brek kereta anda untuk sekian had laju yang dipandu.
Servis kereta anda
Tayar, enjin dan mana-mana komponen yang sensitif untuk perjalanan yang jauh perlulah di servis sebaik mungkin.
Sila dapatkan khidmat nasihat di kedai servis kereta / tayar.
Malam adalah masa rehat
Malam masa yang sangat tidak sesuai untuk bermusafir untuk jarak yang jauh. Keletihan dan penumpuan yang lebih oleh mata anda meningkatkan lagi risiko pemanduan yang kurang selamat.
Cuba jauhi pemanduan di waktu malam.
Sebagai pemandu yang bijak lagi berhemah, kita perlu tahu memandu bukanlah kegiatan yang tidak menggunakan otak.
Memandu merupakan latihan yang baik untuk disiplin diri sebagai manusia yang mematuhi undang-undang dengan teknik pemanduan yang baik.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]