
Hamid Bahatim dari Felda Kemasul, Pahang bagaimanapun memberitahu FMT bahawa bantuan hari raya untuk peneroka Felda nampaknya semakin berkurangan.
Pada 31 Mei lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan semua peneroka Felda akan diberi RM300 sempena Aidilfitri, melibatkan kos RM34 juta.
“Terima kasih, tapi kenapa di saat-saat akhir?” katannya ketika dihubungi. “Beliau bagi bila ramai ketua-ketua peneroka minta.”
Hamid merasakan angka bantuan hari raya yang lebih wajar adalah sebanyak RM400 atau RM500.
Sebelum ini, peneroka mendapat RM450 sempena Aidilfitri 2018 dan RM780 sempena Aidilfitri 2017.
Raya suram

Hamid mendakwa kehidupan warga Felda kini lebih suram menuju Aidilfitri. Bukan sahaja sambutan hari raya, hari-hari biasa yang mereka lalui juga “agak perit”, katanya.
Antara sebabnya kerana penyampaian pentadbiran sekarang nampak lemah berbanding pentadbiran lepas. Hamid menjelaskan, peneroka akan perit jika tiada duit simpanan mencukupi untuk menyara hidup sebelum menerima duit pinjaman sara hidup daripada Felda.
“Dari segi pinjaman sara hidup, pembayaran wang peneroka dan penghantaran buah sawit semua lambat,” katanya.
Hamid berkata dalam hal pemberian wang pinjaman sara hidup, sebarang kelewatan bawah pentadbiran dulu hanya 2 atau 3 hari saja. “Tetapi zaman Pakatan Harapan, lewat 2 hingga 3 bulan”.
Kelemahan penyampaian pentadbiran sekarang itu meresahkan Hamid, kerana dia diberitahu pentadbiran dulu berperangai “buruk”.
“Memang diakui dulu ada buruknya, tetapi tidak sampailah macam apa yang berlaku sekarang ini,” katanya.
Hamid mendakwa kelemahan penyampaian pentadbiran antara sebanyak kenapa beberapa peneroka terpaksa menjual tanaman kepada orang luar walaupun dibeli pada harga lebih murah.
“Kalau jual dengan Felda dapat duit dalam masa 2 bulan. Duit pun dapat terus dan sedikit sebanyak dapat menampung sara hidup peneroka.”
Terbiasa mewah

Rabidin Kasmawi dari Felda Keratong 8, Pahang pula menjelaskan peneroka Felda sebenarnya sudah terbiasa meraikan Aidilfitri secara mewah.
Beliau percaya ramai anak-anak peneroka sudah bekerja dan boleh membantu keluarga masing-masing.
“Kalau seorang anak sikit-sikit bantu pun dah cukup. Memandangkan dah biasa mewah, jadi mereka terasalah,” katanya.
Rabidin berterima kasih kepada pentadbiran sekarang kerana mendengar rayuan warga Felda, yang dibuat melalui beberapa pertubuhan dan badan bukan kerajaan.
“Ramai peneroka merayu untuk raya ini. Rata-rata gembira walaupun lambat sikit tapi tidak apa, janji dapat. Sedikit sebanyak membantu,” katanya.
Tiada semangat

Mohamad Razali Ithnain dari Felda Jengka 6, Pahang pula merasakan suntikan “duit raya” ini sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan kepada peneroka.
Beliau berkata peneroka masih memetik buah sawit seperti biasa setiap bulan, tetapi “duit raya” tidak pula ditambah.
“Kita lihat peneroka Felda juga tidak ada semangat,” katanya.
“Kalau tengok bazar Ramadan lengang tak macam dulu.”