
Beliau menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.
“Pelantikan ini antara langkah pembaharuan penting ke arah proses reformasi institusi-institusi kerajaan,” kata PMO dalam kenyataan hari ini.
Latheefa dilantik untuk tempoh kontrak selama 2 tahun.
Shukri bersama SPRM selama lebih 32 tahun dan dilantik sebagai ketua pesuruhjaya pada 17 Mei tahun lalu. Beliau memohon persaraan awal pada 2016.
Beliau menerima pelantikan itu untuk menyelesaikan siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bekas perdana menteri, Najib Razak, dan berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
“Kerajaan mengucap ribuan terima kasih kepada Shukri yang telah banyak berjasa kepada negara,” kata PMO.
Latheefa pula terkenal dengan kelantangannya dalam isu hak asasi manusia, dan kritikannya terhadap dakwaan kronisme dan nepotisme dalam partinya, PKR.