Buka laluan kecemasan di Slim River jika trafik sesak, kata JPJ

Buka laluan kecemasan di Slim River jika trafik sesak, kata JPJ

Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah berkata, trafik berjalan lancar di sekitar Slim River sejak 29 Mei lalu.

Severinus Tukah (kiri) dan Ahmad Faizal Azumu (2 dari kiri) bergambar dengan pengguna jalan raya pada Program Sentuhan MB dan JPJ Perak bersama Pengguna Jalan Raya di Plaza Tol Ipoh Selatan hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Jabatan Pengangkutan Jalan Perak akan mempertimbangkan cadangan membuka laluan kecemasan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, jika ada keperluan.

Pengarahnya, Severinus Tukah berkata, PLUS Malaysia Berhad mencadangkan laluan kecemasan dibuka di kawasan Slim River, namun perjalanan trafik di kawasan itu masih lancar sehingga hari ini.

“Sejak 29 Mei lalu, kebanyakan laluan masih bergerak lancar. Kita lihat sehingga 7 dan 8 Jun nanti, kalau ada kesesakan di mana-mana kawasan, kita akan buka laluan kecemasan,” katanya pada Program Sentuhan Menteri Besar dan JPJ Perak Bersama Pengguna Jalan Raya Sempena Sambutan Aidilfitri di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Severinus berkata, pihaknya mengeluarkan 1,099 notis dan saman hasil pemeriksaan ke atas 3,591 kenderaan yang diperiksa atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak 29 Mei lalu sehingga hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menasihatkan orang ramai memandu secara berhemah di jalan raya bagi memastikan perjalanan selamat untuk menyambut Aidilfitri.

Mengenai majlis sambutan Aidilfitri peringkat Perak esok, Faizal menyasarkan 48,000 orang akan hadir di perkarangan Stadium Indera Mulia bermula 2.30 petang sehingga lewat petang esok.

Terdahulu, Faizal dan Severinus menyampaikan risalah JPJ dan duit raya kepada anak pengguna jalan raya yang melalui tol berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.