Zuraida sambut aktivis OKU yang gagal bertemu Wan Azizah, Hannah

Zuraida sambut aktivis OKU yang gagal bertemu Wan Azizah, Hannah

Zuraida Kamaruddin berjanji ia akan memastikan golongan OKU diwakili di setiap PBT dan dasar menyediakan kemudahan mesra OKU turut diikuti projek-projek pembangunan kecil.

PUTRAJAYA: Kumpulan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU) hari ini disambut oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di pejabatnya, 4 hari selepas menuduh Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Hannah Yeoh tidak pedulikan mereka.

Zuraida menerima kedatangan delegasi yang minggu lepas menunjuk perasaan di di luar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dan mendengar permasalahan yang dibangkitkan dalam mesyuarat berlangsung selama lebih 1 jam.

“Saya faham kekecewaan mereka. Kegagalan mereka bertemu pihak kementerian tempoh hari, kami rasa kementerian mempunyai sebab tersendiri,” katanya pada sidang media selepas bertemu para perwakilan, termasuk Presiden Persatuan Terapi Bantuan Haiwan untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Emas (Petpositive), Anthony Thanasayan.

Zuraida turut menerima memorandum daripada kumpulan OKU itu dan akan cuba menyampaikannya kepada ketua setiausaha KPWKM.

Beliau berharap pertemuan hari ini dapat meredakan kekecewaan golongan OKU. “Kita cuba selaraskan perjumpaan dengan kementerian.”

Antara isu yang ditimbulkan dalam pertemuan hari ini adalah suara OKU di pihak berkuasa tempatan (PBT). Zuraida berjanji kementeriannya akan memastikan golongan OKU diwakili di setiap PBT.

Beliau berkata Selangor sejak 2008 melantik sekurang-kurangnya seorang OKU sebagai ahli majlis sehingga 2013.

“Selepas pelaksanaan itu memang kita ada maklumat pergerakan ahli majlis OKU sedikit terbatas, khususnya apabila melibatkan tugasan turun padang.

“Kali ini mungkin kita akan tambah baik. Kita akan kekalkan setiap PBT ada seorang wakil OKU, tetapi tugasnya sebagai penasihat,” katanya.

Zuraida berkata kementerian juga akan melihat kembali dasar pembangunan mesra OKU. Beliau berkata sebelum ini prasarana untuk OKU diberi tumpuan dalam projek-projek besar tetapi dikecualian dalam projek-projek kecil.

“Dasarnya sudah ada cuma pelaksanaannya masih lagi tidak meluas, jadi saya akan semak balik dasar ini supaya ia dipatuhi 100%. Sudah tiba masanya melibatkan semua projek,” katanya.

Pertemuan hari ini berlaku selepas sekumpulan OKU menyatakan kekecewaan dengan KPWKM yang didakwa tidak berusaha mendekati mereka.

Anthony membidas sikap pentadbiranya sekarang sebagai memalukan, dan berkata pentadbiran dulu tidak pernah melayan mereka sedemikian.

Beliau menggesa KPWKM memohon maaf kepada mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.