Tidak perlu lantik DPP mewakili kementerian dalam inkues Adib, kata peguam

Tidak perlu lantik DPP mewakili kementerian dalam inkues Adib, kata peguam

Timbalan pendakwa raya awam yang mewakili kementerian tidak boleh mencabar kes yang dibentangkan pegawai pengendali, yang juga seorang DPP.

PETALING JAYA: Seorang peguam berpandangan tiada keperluan melantik 2 peguam kerajaan ke inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, susulan penarikan diri peguam Syazlin Mansor sebagai peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan minggu lepas.

M Visvanathan berkata seorang timbalan pendakwa raya awam (DPP) mewakili kementerian tidak boleh mencabar kes yang dibentangkan oleh pegawai pengendali, yang juga seorang DPP.

“DPP yang mewakili kementerian itu tidak boleh dilihat mengambil pendekatan konfrontasi terhadap kes yang dikemukakan pegawai pengendali, yang berdasarkan siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata paling baik yang boleh dilakukan DPP atau peguam mewakili kementerian itu adalah hanya memainkan peranan penasihat.

“DPP atau peguam itu boleh mengambil nota, dan jika perlu, kemukakan soalan menerusi pegawai pengendali,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin minggu lepas mengumumkan seorang DPP akan mewakili kementerian dan bomba di inkues itu, dan peguam itu akan bertindak bebas daripada DPP yang membantu koroner.

Beliau berkata kementerian akan melantik seorang DPP daripada senarai yang disediakan peguam negara, dan peguam itu akan menerima semua keterangan Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bekas pakar forensik di inkues itu.

Vivanathan berkata masalah timbul kerana Syazlin mewakili 3 pihak iaitu kementerian, bomba dan keluarga Adib.

“Tiada siapa pun timbulkan dan betulkan masalah potensi konflik kepentingan itu pada permulaan inkues itu,” tambahnya.

Visvanathan, yang pernah mewakili keluarga-keluarga dalam beberapa inkues, merujuk kepada keadaan di mana pegawai pengendali mengemukakan penemuan doktor daripada Kementerian Kesihatan manakala Syazlin mengemukakan pandangan berbeza.

Keterangan daripada Sharom, seorang ahli patologist bersara, dan Dr Ahmad Hafizam Hasmi, seorang pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur yang melakukan bedah siasat ke atas Adib adalah bercanggah.

Visvanathan berkata pihak-pihak berkenaan boleh ke Mahkamah Rayuan jika tidak berpuas hati dengan keputusan Koroner Rofiah Mohamad.

“Keluarga Adib juga boleh memfailkan tindakan sivil berdasarkan penemuan koroner,” tambahnya.

Seorang lagi peguam, SN Nair berkata peguam negarea melantik seorang DPP untuk mewakili kementerian ketika pegawainya merupakan pegawai pengendali inkues itu tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Ia memberi persepsi yang dia tidak percaya pegawai pengendali itu boleh menjalankan tugasnya,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah siasatan ke atas kematian Adib melanggar garis panduan yang ditetapkan garis panduan mahkamah berkenaan inkues pada 2007.

“Inkues bukan perbicaraan. Tiada tertuduh, cuma himpunan keterangan yang diproses koroner. Polis dan peguam negara boleh mengambil langkah seterusnya berdasarkan hasil keputusan,” katanya.

Beliau berkata mana-mana peguam yang tampil mewakili pihak berkepentingan boleh menjadi pemerhati dan bercakap dengan kebenaran mahkamah.

Beliau memberikan contoh kes kematian dalam tahanan, di mana polis tidak melantik seorang peguam. Sebaliknya, mereka menghantar seorang pegawai kanan polis untuk mewakili pasukan itu.

“Dalam kes Adib, seorang pegawai kanan bomba adalah wakil yang lebih baik kerana dia memahami tatacara operasi standard jabatan itu,” katanya.

Adib mengalami kecederaan pada 27 November tahun lepas, apabila dia dan pasukannya bergegas untuk menangani kecemasan dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.