Syarikat Australia batal hasrat ambil alih Lynas, kata laporan

Syarikat Australia batal hasrat ambil alih Lynas, kata laporan

The Australian melaporkan Wesfarmers menarik diri daripada perjanjian itu, walaupun ia sudah membayangkan ia kekal sebagai pembeli berpotensi.

Dr Mahathir Mohamad berkata, Lynas boleh terus beroperasi di Gebeng selepas lesennya tamat September ini, dengan syarat ia perlu menyelesaikan masalah sisa radioaktifnya. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Sebuah konglomerat Australia, Wesfarmers dilapor membatalkan rancangan untuk mengambil alih pengeluar nadir bumi kontroversi, Lynas Corporation, lapor The Australian.

Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata, Wesfarmers menarik diri daripada perjanjian itu, walaupun sudah membayangkan ia kekal sebagai pembeli berpotensi.

Keputusan Wesfarmers itu menyusul selepas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lalu berkata, kerajaan akan membenarkan Lynas terus beroperasi selepas lesennya tamat September ini kerana ia adalah “pelaburan Australia yang besar”, tetapi masalah sisa radioaktif perlu diatasi.

Mac lalu, Wesfarmers menawarkan A$2.25 bagi setiap saham Lynas, tetapi tertakluk kepada pembaharuan lesennya. Perjanjian itu bernilai A$1.5 bilion (RM4.4 bilion), tetapi ditolak lembaga pengarah Lynas.

Susulan pengumuman Mahathir itu, saham Lynas melonjak di Australia dan ditutup A$3.05 pada Jumaat lalu, jauh lebih baik daripada tawaran Wesfarmers.

Menurut laporan itu, kenaikan harga saham Lynas itu turut dipengaruhi kemungkinan China membatalkan eksport nadir bumi ke AS, susulan perang perdagangan antara kedua-dua negara terbabit.

Selain Lynas, laporan itu berkata, Wesfarmers turut menghubungi kerajaan Malaysia mengenai penyelesaian membuang sisa di klang dengan menghantarnya ke Australia dan membuat satu lagi tawaran untuk membeli sebuah lagi syarikat nadir bumi, Kidman Resources pada harga A$776 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.