Segera bayar pampasan kepada Orang Asli, wakil rakyat gesa Johor

Segera bayar pampasan kepada Orang Asli, wakil rakyat gesa Johor

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berharap pentadbiran Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal akan mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2010.

Seramai 51 Orang Asli Seletar memohon tindakan mahkamah bagi memaksa pampasan diberikan kepada mereka yang dipindahkan dari Stulang Laut ke Kampung Orang Asli Kuala Masai. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan Johor digesa mengambil tindakan segera membayar pampasanyang tertunggak sejak 9 tahun lalu kepada masyarakat Orang Asli Seletar yang dipindahkan dari kampung mereka.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berharap Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal akan mengambil tindakan segera.

Orang Asli yang hilang tempat tinggal itu berjaya mendapatkan perintah mahkamah memerintahkan mereka diberi pampasan.

“Perintah itu dikeluarkan pada 2010, tetapi pentadbiran lepas gagal mematuhi perintah mahkamah itu, jadi pentadbiran baru harus bersikap positif dan menghormati undang-undang.

“Saya berharap, jika boleh, kes ini diselesaikan segera sebelum pengurusan kes. Tidak perlu tunggu pendengaran,” katanya.

Pagi tadi, masyarakat itu memfailkan permohonan writ mandamus, iaitu tindakan undang-undang yang akan memaksa pihak berkuasa tanah Johor membayar pampasan.

Sekumpulan 50 Orang Asli, diketuai Kelah Lah, 38, dan Khalip Bachik, 57, dipindahkan dari kampung asal di Stulang Laut, ke Kampung Orang Asli di Kuala Masai.

Pada 2008, mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap pengarah Tanah dan Galian Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru, dan ketua pengarah Hal Ehwal Orang Asli dan keputusan Mahkamah Tinggi menyebelahi mereka 2 tahun kemudian.

Mahkamah Tinggi pada 2010 memerintahkan Orang Asli berkenaan diberi pampasan mengikut Akta Pengambilan Tanah, dan pampasan itu mesti ditentukan oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru.

Peguam mereka, Tan Poh Lai berkata, Hakim See Mee Chun membenarkan permohonan Orang Asli yang memohon semakan kehakiman. Tarikh pendengaran akan ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.