
Ketua pakar ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, institusi tempatan menguasai 41.36% pasaran minggu ini, manakala pelabur asing pada 41.17% dan peruncit tempatan sebanyak 17.27%.
Peruncit tempatan menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia minggu ini, dengan aliran keluar berjumlah RM17.34 juta berbanding aliran masuk RM22.31 juta minggu lepas, manakala pelabur asing kekal sebagai penjual bersih apabila mencatatkan aliran keluar RM236.19 juta minggu ini berbanding RM252.98 juta minggu lepas.
Pelabur asing bagaimanapun adalah pembeli bersih pada Khamis dengan aliran masuk sebanyak RM150.77 juta, tertinggi dalam tempoh 4 hari, katanya.
“Saya berpandangan ini adalah petanda positif memandangkan kemunculan nilai dalam kalangan saham yang disenaraikan seperti perbankan dan pembuatan.
“Malah ekuiti Malaysia yang dinaik taraf oleh HSBC dan UBS baru-baru ini juga telah menambaih baik sentimen,” katanya.
Bank terbesar di Eropah, HSBC, menaikkan penarafan ekuiti Malaysia daripada “underweight” kepada “neutral”, manakala firma kewangan utama Switzerland, UBS, memberikan penarafan lebih baik kepada “overweight” berbanding “neutral”, dengan menyatakan pasaran saham negara memiliki kualiti bertahan dalam keadaan peningkatan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.
UBS berkata, Malaysia sememangnya ideal sebagai sebuah pasaran yang bertahan dan menawarkan jaminan dalam persekitaran global semasa, manakala HSBC menyifatkan ekonomi negara kelihatan berdaya tahan, dengan permintaan domestik yang kukuh serta sektor pembuatan bertahan.
Sepanjang minggu ini, Mohd Afzanizam berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang menjadi penanda aras pasaran, meningkat dengan baik mengatasi paras sokongan psikologi 1,600 mata dan mencatatkan kenaikan selama 5 hari walaupun bursa serantau merekodkan prestasi tidak menentu setelah turut disokong oleh prestasi kewangan syarikat yang lebih baik.
“Dalam erti kata lain, ada harapan untuk FBM KLCI mengekalkan momentum positif semasa memandangkan nilai mungkin muncul, yang akan menarik pelabur asing memasuki pasaran,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei kali ke-25 di Tokyo, Jepun berkata, Malaysia tidak terjejas teruk seperti negara lain dalam keadaan perang perdagangan China-AS.
Beliau juga berkata, Malaysia mencadangkan mata wang baru berasaskan emas memandangkan ia lebih stabil berbanding dagangan dalam mata wang semasa yang bersifat manipulatif.
Mahathir berkata logam berharga itu boleh digunakan untuk menilai aktiviti import dan eksport dalam kalangan negara di Asia Timur.
“Kita boleh membuat penyelesaian menggunakan mata wang (baru) ini (emas). Mata wang itu perlu berkait dengan mata wang tempatan sebagai rujukan kepada kadar tukaran, sesuatu yang boleh dikaitkan dengan prestasi sesebuah negara.
“Berdasarkan kaedah ini, kita akan tahu jumlah hutang, jumlah yang perlu dibayar dalam mata wang khas Asia Timur,” katanya semasa sesi dialog persidangan itu.
Mengulas cadangan itu, naib presiden kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Asia Pasifik, Nazri Khan Adam Khan berkata, menjadikan emas sebagai aset tetap standard akan mendorong ringgit lebih stabil dan membolehkannya menjadi aset tetap kawalan kendiri.
Ini akan memberi cabaran besar kepada banyak pihak untuk membuat spekulasi mata wang atau mendorongnya untuk susut atau naik, katanya.
“Saya berpendapat penggunaan emas sebagai satu standard adalah baik kerana ia akan menghalang spekulasi, selain memberi kita ruang untuk mengawal inflasi, yang bermakna kerajaan hanya boleh mencetak wang sebanyak emas dan pada masa sama inflasi dikawal.
“Saya menyokong idea ini dan berharap ia akan dilaksanakan dalam skala kecil namun bermakna dan dan adil kepada semua pihak. Beri masa kepada kami (peserta korporat),” katanya.
Mengenai perkembangan lain, harga minyak mentah dunia jatuh mendadak pada Jumaat kepada nilai terendah dalam tempoh lebih 3 bulan, dipengaruhi kebimbangan terhadap dasar perdagangan Presiden AS Donald Trump, serta kelembapan ekonomi China, yang menjejaskan unjuran permintaan global.
Minyak mentah Brent, yang menjadi penanda aras, turun 2.6% kepada AS$63.60 setong (AS$1 = RM4.18), manakala West Texas Intermediate turun 2.4% kepada AS$55.25 setong.