
Bekas perdana menteri itu tiba pada 3.30 petang dan menghabiskan lebih sejam untuk menemui dan bergambar dengan pengunjung di pusat beli-belah itu.
Ahli Parlimen Pekan itu turut singgah di beberapa kedai dan membeli-belah untuk keperluan beraya.
Seorang pengunjung, Nasir Abdullah mengakui teruja menemui idolanya.
“Saya tak sangka Najib nak datang. Saya rasa bertuah sangat bila dapat salam dan bergambar dengan bekas perdana menteri itu,” katanya kepada FMT.
Bagi Roziah Selamat, walaupun Najib tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan, tetapi beliau masih popular di kalangan rakyat.
“Walaupun orang kata Najib macam-macam dan kita tengok dia sering turun naik mahkamah, tapi bila dia turun padang, orang masih ramai mendekati beliau.

“Walaupun beliau dituduh macam-macam di mahkamah, tetapi banyak jasa beliau. Lagipun dia belum dibuktikan bersalah, jadi tidak ada sebab untuk kami benci beliau.
“Hukuman yang kami berikan kepada beliau pada pilihan raya lalu ternyata salah dan kami menyesal. Di bawah kerajaan baru, beban kami makin berat, kos barang mahal, nak beli-belah raya pun kena pilih-pilih.”
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Syukor berkata: “Ini pertama kali pemimpin datang ke kedai saya sepanjang 20 tahun saya berniaga, terima kasih Najib.”
Ini bukan kali pertama Najib turun padang ke pusat beli-belah dan bazar sepanjang Ramadan ini dan pegawainya berkata, ini adalah program ke-2 terakhir menjelang Aidilfitri.
“Ini program ke-7 Najib sepanjang Ramadan. Malam ini atau esok ada satu lagi program terakhir beliau bertemu rakyat yang akan dibuat sekitar Kuala Lumpur.
“Najib kemudian akan pulang ke Pekan untuk menyambut Hari Raya.”
Sementara itu, Najib menerusi Facebooknya sempat mengusik Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dengan bertanya: “Khalid Samad ada? Saya dekat bazar Kompleks PKNS ini.”