Umno belah bahagi cara tangani Najib, Zahid

Umno belah bahagi cara tangani Najib, Zahid

Seorang pemimpin Umno berkata, tentangan terhadap Najib Razak 'tidak terlalu ketara' disebabkan bekas perdana menteri itu kembali popular baru-baru ini.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bersama Najib Razak.
PETALING JAYA:
Sumber dalam Umno mengesahkan parti itu berbelah bahagi cara untuk menangani Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden, Najib Razak, susulan berita satu kumpulan kecil cuba menyingkirkan 2 pemimpin itu yang berdepan berpuluh pertuduhan jenayah.

Sumber itu memberitahu FMT perselisihan mengenai cara menangani Zahid yang sedang bercuti, ketara kerana seorang pemimpin dan satu sayap parti itu menentang beliau kembali ke pucuk pimpinan Umno.

Tetapi, katanya, tentangan terhadap Najib “tidak terlalu ketara” disebabkan bekas perdana menteri itu yang kembali popular baru-baru ini.

Najib yang melepaskan jawatan presiden Umno susulan kekalahan parti itu pada pilihan raya umum tahun lalu, aktif di peringkat akar umbi dan dilihat antara pengkritik lantang Pakatan Harapan, khasnya di media sosial.

Awal minggu ini, akhbar Singapura, Straits Times melaporkan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Naib Presidennya, Mohamed Khaled Nordin ditugaskan untuk memantau pindaan perlembagaan parti itu, termasuk Fasal 9.9 yang boleh menyebabkan pemimpin parti berdepan tindakan mahkamah digugurkan daripada jawatan mereka.

Mohamad dan Khaled menafikan cadangan pindaan itu menyasarkan Zahid dan Najib.

Bagaimanapun, penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff berkata Umno berpecah kepada beberapa puak dengan pendapat berbeza selepas kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei 2018.

“Walaupun tidak diketahui siapa mereka, ada kem berbeza dalam Umno yang mahu menjenamakan semula parti itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, lebih mudah untuk menyingkirkan Zahid berbanding Najib yang mempunyai ramai penyokong.

Katanya, mereka yang mahu menyingkirkan 2 pemimpin itu percaya ia dapat membantu proses “membaiki dan meremajakan semula” Umno.

Sementara itu, Nazri Aziz yang disingkirkan daripada jawatan setiausaha agung Barisan Nasional pada Mac lalu, tidak tahu mengenai motif di sebalik berita penyingkiran Zahid dan Najib.

Katanya, beliau “sudah lama meninggalkan politik Umno”.

“Saya tidak dengar mengenainya,” katanya sambil menambah jika cadangan pindaan itu dibangkitkan dalam mesyuarat agung Umno, bahagian Padang Rengas akan menolaknya.

“Ini berdasarkan prinsip tiada sesiapa yang bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.