China, Malaysia ‘sahabat selamanya’, kata duta

China, Malaysia ‘sahabat selamanya’, kata duta

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berterima kasih kepada semua pihak yang komited memperkukuhkan persahabatan China-Malaysia sejak 45 tahun lalu.

Duta Besar China Bai Tian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkongsi pandangannya mengenai persahabatan antara China dan Malaysia, yang dibina atas dasar kepercayaan, saling menghormati, persamaan dan keikhlasan antara satu sama lain.

Dalam satu artikel khas yang dimuat naik di Facebook rasmi kedutaan hari ini, duta besar itu berkata hubungan dua hala antara China dan Malaysia “yang terjalin sejak 45 tahun bermula dari sekecil-kecilnya perhubungan sehingga ia berkembang luas hingga ke hari ini.”

“Andai (kita) mengibaratkan persahabatan yang terjalin itu umpama sepohon pokok, kepercayaan politik menjadi baja yang menyuburkannya. Pemimpin kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam mengalakkan persahabatan China-Malaysia,” katanya.

Tambahnya, walaupun kedua-dua negara sering berbeza pendapat dalam kebanyakan isu, kedua-dua pihak sentiasa menangani perbezaan itu melalui rundingan, kesepakatan dan saling mempercayai.

Malaysia negara pertama di rantau ini yang mempunyai hubungan diplomatik dengan China, apabila perdana menteri ke-2, Abdul Razak Hussein melawat negara itu pada 1974.

Sejak itu, hubungan China-Malaysia semakin erat berkembang dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, ekonomi, perdagangan, pertanian, pertahanan dan keselamatan.

“(Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad melawat China sebanyak 9 kali dalam tempoh 2 penggal menjadi perdana menteri. Pada majlis ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia tahun ini, Mahathir melawat China bagi menghadiri Forum Jalur dan Laluan Untuk Kerjasama Antarabangsa.

“Di luar forum berkenaan, Mahathir mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara dan bertukar-tukar pendapat mengenai rangka kerja untuk kerjasama baru antara China-Malaysia,” katanya.

Menurutnya, 45 tahun lalu, jumlah dagangan dua hala antara China dan Malaysia hanya AS$159 juta, menjelang 2018 ia meningkat kepada AS$108.6 bilion, iaitu peningkatan lebih 600 kali.

“Projek ‘Taman Berkembar Kedua-dua Negara’ berjalan lancar dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia dimulakan semula, sementara kerjasama seperti Zon Perdagangan Bebas Digital Geely Proton dan Alibaba Malaysia sedang berjalan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang komited memperkukuhkan persahabatan China-Malaysia sejak 45 tahun lalu.

“China dan Malaysia akan bersahabat selamanya, membantu satu sama lain dan meneruskan pembangunan bersama untuk jangka masa panjang. Semoga persahabatan yang terjalin berkekalan selamanya,” ujar Bai Tian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.