Hutan umpama mesin ATM kepada ahli politik, kata aktivis

Hutan umpama mesin ATM kepada ahli politik, kata aktivis

Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia menganggap Malaysia masih belum mempunyai pemimpin yang benar-benar mahu memperjuangkan kelestarian alam sekitar.

Persatuan Aktivis Sahabat Alam mendakwa ada politikus yang ibarat tangan kanan menanam pokok, tangan kiri pula meluluskan lesen balak.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis alam sekitar menganggap Malaysia masih belum mempunyai pemimpin yang benar-benar mahu memperjuangkan kelestarian alam sekitar.

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (Kuasa) Hafizudin Nasarudin berkata hutan yang terdapat di negara ini tidak ubah seperti “mesin duit” untuk memenuhi kantung ahli politik dan perbendaharaan negara.

“Mereka tidak langsung memahami dan menghargai nilai kepelbagaian bio, ekosistem dan betapa lengkapnya ekosistem hutan hujan tropika kita selama ini.

“Kita dapat hidup sihat hari ini kerana hutan masih ada, kita dapat cukup makan kerana hutan berfungsi membekalkan air yang bersih dalam kuantiti yang tinggi untuk tanah pertanian kita.

“Bekalan tenaga elektrik kita memerlukan hutan yang sihat untuk bekalan air bersih bagi menghasilkan wap air penggerak turbin dan hampir seluruh rakyat Malaysia memang memerlukan hutan yang sihat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kelestarian alam sekitar yang semakin diabaikan, terutamanya melibatkan pembalakan.

Hafizudin Nasarudin bergambar dengan tumbuhan reflisia yang terdapat di hutan Malaysia.

Beliau menyifatkan ahli politik tempatan sebagai “jahil” dan “bodoh” mengenai alam sekitar dan kelestarian flora dan fauna.

“Mereka kemaruk nak kuasa, tetapi mereka langsung tidak membuat kajian dan mengkaji apa yang sedang berlaku terhadap alam sekitar Malaysia.

“Apa yang sedang berlaku kepada komuniti akar umbi kita,” katanya sambil menambah isu tersebut adalah asas dalam membela kebajikan masyarakat khususnya kelas bawahan.

Paya bakau, sawah padi makin merosot

Graduan University of Bristol itu berkata kehilangan beberapa hutan di Malaysia menyebabkan perjalanan hidup rakyat mula berubah tanpa mereka sedari.

Jelasnya, harga makanan laut yang menjadi hidangan hampir seluruh rakyat semakin meningkat disebabkan ekosistem hutan bakau yang menjadi tempat pembiakan hidupan itu musnah serta berlaku pencemaran air.

“Oleh itu tidak mustahil harga makanan laut seperti ikan, udang, ketam, kerang dan sebagainya semakin mahal ekoran pembiakan yang terhad.”

Beliau menambah, tiada sesiapa menyedari produktiviti padi negara semakin merosot kerana tidak cukup bekalan air akibat hutan tadahan air dimusnahkan.

“Malah komuniti seperti orang Asli dan penduduk luar bandar mengalami krisis malnutrisi akibat kehilangan sumber makanan hutan,” katanya.

Beliau menambah tiada siapa sedar terdapat negeri yang tidak mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi akibat kawasan hutan yang menjadi pusat tadahan air dimusnahkan.

“Seperti Perlis, Pulau Pinang dan Selangor.

“Walaupun Malaysia menerima hujan sekata dan banyak sepanjang tahun” katanya.

Dalang kemusnahan hutan

Hafizudin berkata walaupun negara memiliki golongan profesional dan cerdik pandai, namun golongan ini menjadi punca dan dalang di sebalik kerakusan dan kemusnahan hutan.

“Kita mempunyai golongan bijak pandai dan agensi-agensi teknikal kononnya untuk menguruskan sumber asli.

“Tetapi hakikatnya badan-badan inilah yang saban hari membantu kapitalis meratah khazanah alam kita atas nama pembangunan dan ekonomi menggunakan lunas undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, walaupun negara kini dikenali sebagai Malaysia Baru, namun masih tiada kesungguhan yang tinggi daripada ahli politik negara untuk pembangunan lestari.

“Hanya sekadar slogan di mulut, namun tiada tindakan.

“Ada politikus yang ibarat tangan kanan menanam pokok, tangan kiri pula meluluskan lesen balak.

“Malaysia memerlukan ahli politik yang benar-benar berminda ‘hijau’ untuk mengemudi negara ini.

“Adakah apabila kita sudah tiada hutan lagi, baru nak muncul ahli politik sebegini?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.