Subjek agama lain tidak sesuai di sekolah rendah, kata Nik Omar

Subjek agama lain tidak sesuai di sekolah rendah, kata Nik Omar

MBM sebelum ini mencadangkan subjek mengenai agama lain selain Islam diajar di sekolah bagi memupuk keharmonian kaum.

YDP Yadim Nik Omar Nik Aziz.
KOTA BHARU:
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) beranggapan cadangan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya diperkenalkan satu subjek khusus bagi mengenali agama lain, selain agama Islam di peringkat sekolah rendah adalah tidak sesuai.

Yang Dipertuanya Nik Omar Nik Aziz berkata, pelajar di sekolah rendah, khususnya yang beragama Islam masih kecil, justeru fokus kepada pemantapan Islam, dari segi akidah dan tauhid perlu dibuat terlebih dahulu.

“Bagi pelajar yang masih kecil perlu didedahkan kepada asas fardu ain…Allah SWT yang maha agung… Dia yang mencipta, Dia yang memberi rezeki.

“Pendedahan kepada agama lain sebagai satu cara untuk kehidupan harmoni dalam negara yang majmuk lebih sesuai di peringkat sekolah menengah atau institut pengajian tinggi.

“(Pada peringkat sekolah menengah) pelajar faham mengenai Islam, namun di peringkat sekolah rendah adalah tidak sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Colek dan Sembang Santai di sini, malam tadi.

Sabtu lepas, presiden MBM Jufitri Joha dilaporkan berkata, subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Semalam, Menteri Pendidikan Maszlee Malik tidak mempersetujui cadangan MBM, bagaimanapun katanya, kementerian konsisten dengan cadangan sebelum ini yang mahukan setiap sekolah dan universiti lebih kerap mengadakan program rentas budaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.