10 disyaki ugut pengarah penguat kuasa MPS ditahan

10 disyaki ugut pengarah penguat kuasa MPS ditahan

Kejadian sama pernah berlaku 28 April lepas, apabila suspek membakar mercun yang diletakkan dalam tong cat merah bersama paku, besi dan serpihan kertas.

Suspek dipercayai diupah dipercayai diupah menyerang rumah mangsa kerana tindakan tegas MPS dalam menangani masalah pembuangan sampah di tapak pelupusan haram.
KUALA LUMPUR:
8 lelaki dan 2 wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes ugutan terhadap seorang pengarah penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Fadzil Ahmat berkata, 7 lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia, berusia 22 hingga 57 tahun itu ditahan pada pukul 2.45 petang Rabu lepas, manakala 2 wanita berusia 19, dan 46 tahun ditahan semalam, di sekitar kawasan Gombak.

Katanya, kesemua mereka ditahan susulan laporan polis yang diterima pada 13 Mei lepas, berhubung rumah milik pengarah penguat kuasa MPS di Taman Muhibbah Rawang, Selangor diserang menggunakan cat berwarna merah, hingga menyebabkan 2 kenderaan milik mangsa rosak.

“Kejadian yang sama pernah berlaku pada 28 April lepas, apabila suspek membakar mercun yang diletakkan dalam tong cat merah bersama paku, besi dan serpihan kertas.

“Pengakuan awal suspek menyatakan, mereka diupah untuk menyerang rumah mangsa, dipercayai kerana tindakan tegas yang diambil MPS bagi menangani masalah pembuangan sampah di tapak pelupusan haram di kampung Sungai Tua Batu Caves, Selangor,” katanya.

Fadzil berkata, seorang lagi individu yang dikenali sebagai Jafni Abdullah @ Mohd Yusoff, 47, atau digelar Man Puchong dicari bagi membantu siasatan.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan masih dalam tahanan reman untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Norhayati Ahmad ketika ditemui di rumahnya di Rawang berkata, ancaman yang diterimanya itu tidak menghilangkan semangatnya yang baru 2 bulan mengambil alih jawatan itu.

Beliau berkata, 2 laporan polis dibuat di Balai Polis Rawang dan menganggap ancaman diterimanya itu serius dengan motif tertentu, namun tidak tahu siapa yang bertanggungjawab melakukannya.

“Saya tidak pernah terima sebarang ugutan sebelum ini, sudah tentu apa yang berlaku membuatkan saya berasa takut…ia turut memberi kesan kepada jiran yang bimbang dengan keselamatan diri masing-masing,” katanya.

Berikutan kejadian itu, kawalan keselamatan di kediamannya dipertingkat melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), selain rondaan oleh anggota polis dan penguat kuasa MPS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.