
Bekas senator 2 penggal, Abdul Shukor PA Mohd Sultan, 70, berkata, arwah moyangnya, Shaik Eusof Shaik Latiff, mewasiatkan 2 keping tanah di Air Hitam digunakan untuk tujuan wakaf hanya selama tempoh tertentu.
Beliau berkata, berdasarkan wasiat Shaik Eusoff, tanahnya seluas 6 hektar di Jalan Thean Teik diberikan sebagai wakaf orang Islam selama 21 tahun dari tarikh kematian anak bongsu beliau.
Shukor memberitahu mahkamah bahawa anak bongsu daripada 7 anak Shaikh Eusoff – seorang anak perempuan – meninggal dunia pada 1932, justeru tanah berkenaan sepatutnya dipulangkan sebagai harta pesaka keluarganya pada 1953.
Beliau berkata, perkara itu jelas disebutkan dalam wasiat Shaik Eusoff setebal 10 halaman yang ditulis dalam bahasa Inggeris bertarikh 30 Disember 1892 dan tidak dapat disanggah.
Shukor berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh peguamnya, Akberdin Abdul Kader, yang dibantu oleh Yuslinov Ahmad.
Akberdin kemudiannya mengemukakan 60 eksibit bagi menyokong tuntutan klien beliau, termasuk kenyataan saksi setebal lebih 600 halaman kepada hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Yunus Mohamad Zin.
Saman terhadap MAINPP itu difailkan oleh Shukor dan 2 lagi cicit Shaik Eusoff, iaitu Syed Idross Syed Hassan al-Mashoor dan Sheik Mohd Jelani Sheik Emam.
Sebelum ini mereka meminta MAINPP mengembalikan tanah berkenaan tetapi gagal memperolehinya.
Shaik Eusoff, yang berketurunan Jawi Peranakan dengan susur galur keluarga di Gujarat, India, merupakan hartawan hartanah yang terkenal dan dikatakan memiliki banyak tanah di George Town pada awal abad ke-19.
Keturunannya juga dikatakan bertanggungjawab membawa masuk seni boria ke negeri itu.
MAINPP diwakili oleh peguam Zainul Rijal.
Perbicaraan 10 hari itu ditetapkan pada tarikh-tarikh berlainan sehingga Disember. Perbicaraan bersambung hari ini.