
“Ada kemungkinan kita akan ada satu lagi pilihan raya kecil. Kali ini di Parlimen Jasin, Melaka.
“Mana tahu? ECRL mungkin akan sampai ke sana masa itu. Kita tunggu keputusan pada 12 Jun nanti,” katanya di Facebook hari ini.
Perubahan jajaran ECRL melalui Negeri Sembilan dibayangkan dan disahkan oleh para menteri pada 5 dan 7 April semasa pilihan raya kecil DUN Rantau sedang berjalan, sebelum pemberitahuan rasmi oleh wakil khas perdana menteri, Daim Zainuddin pada 12 April.
Rancangan baru itu menyaksikan 2 stesen dibina di Negeri Sembilan iaitu stesen Jelebu dan Kuala Klawang, yang bersambung dengan stesen Mentakab, Pahang dan stesen Bangi/Kajang, Selangor.
Para menteri berkata pengumuman semasa pilihan PRK sedang berjalan itu bukan untuk memancing undi.
Mahkamah Pilihan Raya menetapkan keputusan untuk petisyen pilihan raya Parlimen Jasin dijadualkan pada 12 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kata Muniandy Vestanathan, peguam kepada calon Pakatan Harapan pada PRU-14, Khairuddin Abu Hassan.
Muniandy berkata seramai 44 saksi dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaran yang tamat semalam.
“Sekarang hanya tunggu untuk penyerahan dan keputusan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 6 Mac lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak bantahan awal Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen pilihan raya difailkan Khairuddin.