Buaya 500kg ditangkap di Tawau

Buaya 500kg ditangkap di Tawau

Pada 22 April lepas, seorang warga emas warga Indonesia dilapor dibaham buaya di Sungai Pang Burung sebelum mayatnya ditemui keesokan hari

Reptilia ganas berukuran 4.27 meter itu ditemui masuk ke perangkap yang dipasang JHL di kawasan sasaran. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Seekor buaya seberat 500 kilogram akhirnya ditangkap selepas hampir sebulan reptilia itu diburu oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) di Sungai Pang Burung dekat sini.

Hari ini pada pukul 8.30 pagi, reptilia ganas berukuran 4.27 meter itu ditemui masuk ke perangkap yang dipasang JHL di kawasan sasaran.

Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris berkata, penangkapan buaya terbabit susulan laporan mengenai seorang warga emas maut dipercayai diserang buaya pada 23 April lepas.

“Kita pasang perangkap besi tidak jauh dari mayat mangsa ditemui dan hari ini buaya yang dipercayai menyerang warga emas itu berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 22 April lepas, seorang warga emas, Zainuddin Bedda, 61, warga Indonesia dilapor dibaham buaya di Sungai Pang Burung sebelum mayatnya ditemui keesokan hari dalam keadaan menyayat hati.

Mangsa, yang juga seorang pesara kilang sawit Pang Burung, dipercayai ke sungai pada 22 April pukul 7.00 pagi untuk mengambil sayur di tebing sungai kecil Pang Burung.

Bagaimanapun, sehingga pukul 6.00 petang mangsa dilaporkan tidak balik ke rumah dan mayat mangsa ditemui pada keesokan hari oleh pasukan Bomba di Sungai Pang Burung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.