MTUC gesa kerajaan ambil tindakan Utusan lambat bayar gaji

MTUC gesa kerajaan ambil tindakan Utusan lambat bayar gaji

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, Utusan Melayu Berhad melanggar Akta Kerja 1955 kerana lewat membayar gaji dan VSS pekerjanya.

Difahamkan, bayaran terakhir diterima pekerja Utusan Melayu Berhad ialah pembayaran awal yang tidak melebihi RM1,000 pada 26 April lalu dan bayaran VSS yang ditangguhkan ke satu tarikh akan ditentukan kemudian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan segera terhadap Utusan Melayu Berhad yang lewat membayar gaji kepada kakitangannya.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, tindakan Utusan jelas melanggar Seksyen 19 (1) Akta Kerja 1955 yang mewajibkan majikan membayar gaji pekerja dalam tempoh 7 hari pada bulan berikutnya.

“Masalah kewangan syarikat bukan satu alasan pekerja tidak dibayar gaji. Masalah kewangan tidak jatuh dari langit secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini hari ini memetik sumber melaporkan kakitangan Utusan dan Kosmo belum mendapat gaji bulan lalu dan pembayaran itu ditangguhkan ke tarikh belum ditentukan.

Difahamkan, bayaran terakhir yang diterima pekerja ialah pembayaran awal dengan jumlah tidak melebihi RM1,000 pada 26 April lalu.

Satu lagi memo bertarikh 10 Mei menyatakan bayaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) akan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Solomon berkata, tidak membayar VSS juga salah dari segi undang-undang kerana ia melanggar kontrak yang ditandatangani antara majikan dan pekerja.

Beliau menggesa JTK mengambil tindakan untuk memastikan bayaran VSS dibuat segera kerana pekerja terbabit tiada pendapatan lain dan terpaksa bergantung kepada wang itu untuk hidup.

“Lagipun, JTK sudah pasti tahu akan VSS ini kerana Utusan perlu maklum kepada JTK sebulan sebelum VSS dikeluarkan.

“Ke mana pergi semua keuntungan sebelum ini? Pengurusan Utusan sudah pasti ketahui bilangan pekerja di Utusan, sebelum ia memutuskan untuk menarik palam ke atas Utusan,” katanya sambil menggesa parti politik yang menguasai Utusan terdahulu tidak boleh dibenarkan “cuci tangan”.

Bagi mengelakkan masalah sama berulang, beliau menggesa Putrajaya menggubal akta bagi menghalang parti atau ahli politik menjadi pemilik syarikat media.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan pekerja tidak menjadi mangsa atau hamba kepada parti atau ahli politik yang mungkin mengongkong kebebasan media.

“Tanpa penglibatan parti atau ahli politik, kebebasan serta kredibiliti surat khabar atau media itu akan dipertingkatkan dan mereka tidak perlu takut menyiarkan berita yang benar.

“Kerap kali kita lihat pekerja menjadi mangsa di Malaysia akibat permainan politik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.