Cawangan Khas dilarang ke sidang media Warisan

Cawangan Khas dilarang ke sidang media Warisan

Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, pegawai SB boleh memohon untuk hadir dan menunjukkan identiti mereka, tetapi tidak boleh menyamar sebagai wartawan.

Seorang pegawai Cawangan Khas mendakwa perunding media bagi Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sudah menghalau anggota SB dari sidang media Warisan.
KOTA KINABALU:
Seorang pemimpin kanan Warisan mengesahkan parti itu memutuskan untuk melarang anggota Cawangan Khas menghadiri sidang medianya.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, Cawangan Khas tidak akan dibenarkan ke mana-mana sidang media tanpa sebarang undangan.

“Jika mereka mahu memohon untuk hadir, mereka perlu menunjukkan identiti dan bukannya menyamar sebagai wartawan,” katanya kepada FMT.

Wong yang juga menteri pertanian dan industri makanan Sabah berkata, ia menjadi kebiasaan untuk polis menghantar anggota Cawangan Khas ke acara anjuran kerajaan dan pembangkang, tetapi ia bukan lagi satu amalan di bawah kerajaan Warisan.

“(Mereka) tiada alasan dan urusan berada dalam sidang media.”

Anggota Cawangan Khas biasanya dikerahkan untuk mengawal keadaan bagi acara menteri dan kerajaan. Ia bertujuan meneutralkan sebarang ancaman sebelum sebarang acara kerajaan membabitkan pegawai berpangkat tinggi berlangsung.

Mereka turut membuat liputan acara dan laporan mengenainya kepada pihak atasan. Seorang pegawai Cawangan Khas berkata, mereka perlu menghadiri sidang media untuk berbuat demikian.

Berita mengenai “peraturan” baru itu tersebar di media sosial dan dibidas sesetengah blogger kerana ia merupakan kebiasaan untuk pegawai Cawangan Khas hadir dalam acara politik atau sidang media.

Ada yang mempersoalkan kenapa Warisan membuat keputusan itu dan sama ada Presiden Warisan dan Ketua Menteri, Shafie Apdal tahu mengenainya kerana ia hanya membawa kesan buruk kepadanya.

Seorang blogger dan aktivis politik tempatan, Ronnie Klassen berkata individu yang menguatkuasakan peraturan baru itu ialah “perunding media” ketua menteri yang juga seorang bekas wartawan di Sabah.

Seorang pegawai Cawangan Khas mendakwa perunding media itu dalam beberapa acara menghalau anggota Cawangan Khas dari sidang media pemimpin Warisan, termasuk Shafie.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.