
Masri, yang mewakili Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor berkata, status “Islam” tertera pada kad pengenalan beberapa pengikut Ahmadiah yang ditahan di sebuah rumah ibadah kelolaan mereka di Batu Caves, Selangor pada 2014 itu.
Sekumpulan pengikut Ahmadiah mencabar Jais kerana cuba mendakwa mereka dengan kesalahan syariah, mengatakan pihak berkuasa agama tidak pernah mengiktiraf mereka sebagai orang Islam.
Masri bagaimanapun berkata status “Islam” yang tertera pada kad pengenalan mereka sudah memadai untuk membolehkan penahanan dan siasatan oleh pihak berkuasa agama.
Hakim Mahkamah Tinggi gagal untuk mempertimbangkan perkara itu dan mengisytiharkan mereka bukan Islam, katanya ketika membuat hujahan di Mahkamah Rayuan di hadapan Hakim Badariah Sahamid.
Masri menjelaskan pengikut Ahmadiah mestilah terlebih dahulu membenarkan siasatan pihak berkuasa agama Selangor sebelum mendapatkan penyelesaian di mahkamah sivil.
Beliau bertegas, walaupun fatwa Selangor pada 2001 yang mengisytiharkan pengikut fahaman Ahmadiah sebagai sesat, berpandukan itu sahaja tidak mencukupi.
“Sepatutnya pengikut Ahmadiah itu pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor untuk mendapat pengesahan yang mereka bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi Shah Alam tiada kuasa mengisytiharkan pengikut Ahmadiah bukan Islam, kerana kuasa terletak pada Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.
Pada 6 Julai lalu, pengikut fahaman Ahmadiah berjaya mendapatkan hak daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menjalankan ibadat tanpa diganggu pihak berkuasa agama Islam Selangor, atas dasar pihak berkuasa agama Selangor tidak mengiktiraf Ahmadiah sebagai Islam.
Sementara itu, peguam Aston Paiva, yang mewakili 39 pengikut Ahmadiah yang ditahan itu, tidak setuju dengan hujah Masri, mengatakan status “Islam” pada kad pengenalan sahaja tidak relevan, dan fatwa yang diwartakan patut dirujuk.
“Dalam fatwa tersebut ada mengatakan pengikut Ahmadiah menyimpang keluar daripada Islam. Tetapi dalam fatwa itu mengatakan mereka boleh kembali menjadi Islam jika mereka mengucap 2 kalimah syahadah,” katanya.
Beliau juga berkata kad pengenalan adalah perkara bawah undang-undang persekutuan.