Untuk Islam atau politik, Dr M persoal demo hujung minggu

Untuk Islam atau politik, Dr M persoal demo hujung minggu

Perdana menteri tertanya adakah tujuan sebenar tunjuk perasaan itu untuk mendapatkan sokongan bagi parti-parti politik tertentu.

Orang ramai di tunjuk perasaan anjuran Gerakan Pembela Ummah pada Sabtu.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad hari ini persoalkan tujuan sebenar tunjuk perasaan orang Islam di ibu negara pada Sabtu, tertanya adakah untuk mempertahankan kedaulatan Islam dan Perlembagaan, atau untuk mendapatkan sokongan bagi parti-parti politik tertentu.

“Saya mengalu-alukan perhimpunan umat Islam yang bertujuan mempertahan kedaulatan Islam dan Perlembagaan. Saya sokong penuh tujuan-tujuan tersebut.

“Tetapi saya tertanya sama ada benar tujuan mendaulat Islam atau bertujuan mendapat sokongan bagi parti-parti politik tertentu,” katanya di blog.

Pada Sabtu, Lebih 1,000 orang, termasul pemimpin Umno dan PAS, menyertai tunjuk perasaan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Mahathir berkata akhbar melaporkan hasrat perhimpunan itu ialah memperingati kerajaan akan kedudukan Islam, tetapi yang berucap ialah pemimpin Umno dan PAS.

“Jika ia bertujuan mendaulat Islam, sepatutnya ia tidak terhad kepada parti politik tertentu sahaja. Gandingan parti-parti ini tidak mencerminkan solidariti orang Islam. Bahkan ia mengasing dan memisah umat Islam di Malaysia,” katanya.

Mahathir turut menjawab tuduhan mengatakan kerajaan tidak mendaulatkan Islam, sedangkan rombongan demi rombongan dari negara-negara lain dakwa Malaysia contoh negara Islam, dan memandang tinggi Malaysia sebagai negara Islam.

“Mereka nyatakan keinginan melihat negara mereka menjadi seperti Malaysia.

“Kata mereka penduduk Negara mereka yang 100% Islam tidak pun dapat mentadbir dan menstabilkan negara mereka, jauh sekali dari membangun Negara mereka.”

Mahathir berkata negara lain yang 100% penduduknya beragama Islam kerap kali bermusuh sesama mereka, membunuh dan berperang, sehingga ramai terpaksa berhijrah ke negara bukan Islam.

Beliau berkata orang-orang dari negara-negara itu sering kagum dengan Malaysia, dan tidak mendakwa Islam tidak didaulatkan di Malaysia.

Yang menuduh hanya orang Islam Malaysia sahaja, katanya.

“Sesungguhnya tuduhan yang dilempar terhadap kerajaan bukan kerana tidak mendaulat Islam, tetapi semata-mata kerana politik,” katanya.

“Dalam usaha ini agama Islam yang suci menjadi buruk kerana kepentingan bukan agama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.