Pemimpin Umno dakwa kementerian perumahan ciplak idea BN

Pemimpin Umno dakwa kementerian perumahan ciplak idea BN

Naib Ketua Umno Bahagian mendakwa kerajaan PH hanya ciplak dan tukar nama, termasuk rancangan pembangunan semula Dasar Perumahan Negara 2.0.

Pemimpin Umno berkata ‘kejayaan’ yang dilakukan KPKT dibawah PH hanyalah memberi projek pembinaan rumah mampu milik kepada China. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mendakwa Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Zuraidah Kamaruddin, tidak banyak melakukan perubahan selepas setahun Pakatan Harapan mentadbir negara.

Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh, Mohd Razlan Rafii berkata, kerajaan PH banyak menciplak idea kerajaan Barisan Nasional, termasuk rancangan pembangunan semula menerusi Dasar Perumahan Negara 2.0.

“Pembangunan semula, kerajaan BN sudah laksana lama. Sebagai contoh, flat 4 tingkat di Razak Mansion dan perumahan Kerinchi. Kerajaan PH hanya ciplak dan tukar nama,” katanya kepada FMT.

Razlan berkata, banyak janji manifesto PH gagal dilaksanakan, khususnya mengenai rumah mampu milik untuk rakyat.

Beliau secara sinis mendakwa “kejayaan” yang dilakukan KPKT dibawah PH hanyalah memberi projek pembinaan rumah mampu milik kepada China.

“Ini adalah penjualan negara yang amat jelas. Apa susahnya membina rumah murah sehingga memerlukan negara luar membinanya. Rakyat faham apabila (projek) keretapi laju kita guna kepakaran negara luar. Ia melibatkan teknologi luar yang tidak dipunyai Malaysia.

“(Tetapi) bina rumah mampu milik tidak memerlukan kepakaran luar, tidak perlu teknologi tinggi. Kontraktor tempatan pun boleh buat,” katanya.

Razlan merujuk langkah kerajaan, menerusi KPKT yang bekerjasama dengan beberapa syarikat China untuk membina sehingga 100,000 unit rumah mampu milik tahun ini bagi menampung keperluan rakyat berpendapatan rendah.

KPKT juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat China ketika menghadiri “Second Belt and Road Forum for International Cooperation” (BRF Kedua) di Beijing, China, baru-baru ini.

Sebelum ini, Zuraida memaklumkan kementeriannya berjaya melaksanakan beberapa polisi dalam tempoh setahun PH mengambil alih Putrajaya.

“Kami berjaya melancarkan 3 polisi, iaitu Dasar Perumahan Negara 2.0, Dasar Perumahan Mampu Milik dan Dasar Komuniti,” katanya sambil memaklumkan ia dalam proses pelaksanaan.

Katanya, Dasar Perumahan Negara 2.0 melibatkan beberapa pembaharuan, termasuk keperluan menyemak dan membangunkan semula perumahan lama.

Menurutnya, di bawah dasar tersebut, rumah yang sudah melebihi usia 30 tahun akan dibangunkan semula.

“Misalnya, kini pihak kementerian berusaha membangunkan semula Flat Taman Keramat Permai di Ampang, Selangor, yang baru-baru ini dilaporkan mengalami keretakan struktur, dengan kelengkapan canggih,” katanya ketika mengumumkan hasil kejayaan setahun Putrajaya di bawah PH.

Sementara itu, Wanita PKR menolak tuduhan Zuraida tidak banyak melakukan perubahan di bawah pentadbiran PH.

Ketua Penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah berkata, 3 dasar yang diperkenalkan memfokuskan kepada kebajikan rakyat.

“Antaranya Dasar Rumah Mampu Milik yang merupakan pertama kali diwujudkan itu adalah untuk membantu kumpulan berpendapatan 40% terendah (B40) memiliki rumah mampu milik yang kondusif.

“Pengenalan 3 dasar itu menunjukkan Zuraida mahu pastikan agenda rakyat dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan PH perlu diberi masa untuk memulihkan negara disamping melaksanakan kebajikan rakyat mengikut perancangan.

Bagaimanapun, badan bukan kerajaan (NGO), Tak Nak Insinerator (KTI) masih lagi tidak berpuas hati dengan KPKT yang didakwa gagal memberi kerjasama khususnya melibatkan isu loji pelupusan sampah.

Presiden KTI, Lee Chong Tek berkata, sehingga kini pihak KPKT tidak memberi sebarang respon berhubung usaha untuk memberi penerangan mengenai risiko jika projek insinerator dilaksanakan.

“Mereka (KPKT) tidak berminat dengan kita. Kita juga bekerjasama dengan pakar dari luar negara. Kami harap KPKT boleh hantar wakil dengar pandangan kami kalau menteri tidak senang untuk jumpa dengan pakar yang kami cadangkan untuk menerangkan tentang insinerator.

“Kami minta pakar luar bekerjasama, sebab kami ini orang awam, daripada NGO dan taman-taman (perumahan). Jadi, kami rasa kami bukan pakar. Sebab itu kami cari pakar dari Amerika Syarikat,” katanya.

Lee berkata, kerana kesukaran pihaknya mendapat kerjasama KPKT, peluang untuk menghalang projek insinerator tipis.

“Berdasarkan maklum balas yang diberikan pihak menteri, mereka juga buat pengumuman akan buat di setiap negeri. Kami harap kalau boleh, cuba di 1 kawasan dulu, tengok berjaya ke tidak, sebab kalau buat di banyak tempat dan kalau tidak berjaya, kita akan tanggung risiko,” katanya.

Zuraida sebelum ini menolak dakwaan beliau tidak mengambil perhatian mengenai bantahan yang dibangkitkan segelintir pihak termasuk daripada NGO berhubung loji pelupusan sampah.

Zuraida berkata, kerajaan sedang mengusahakan inisiatif memproses sampah menjadi tenaga (WTE) yang mana tapak pembuangan sampah akan ditukar menjadi loji insinerator.

Zuraida dilaporkan berkata, setiap negeri akan memiliki 1 loji WTE.

Loji pertama WTE adalah di tapak pelupusan sampah di Tanah Merah, Negeri Sembilan, yang dijangka beroperasi bulan depan.

Tapak pelupusan sampah lain ialah di Bukit Payong dan Seelong di Johor, Jabi dan Samling di Kedah serta Bukit Tagar di Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.