7 pelajar cedera, 2 penembak ditahan dalam insiden serangan di Colorado

7 pelajar cedera, 2 penembak ditahan dalam insiden serangan di Colorado

Pihak polis tidak dapat memastikan sama ada suspek merupakan pelajar di sekolah terbabit, tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai identiti penyerang.

Insiden berlaku di Sekolah Tinggi STEM Highlands Ranch, kira-kira 32 kilometer dari pusat bandar Denver. (Gambar Twitter)
LOS ANGELES:
Sekurang-kurangnya 7 pelajar cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah berhampiran Denver, Amerika Syarikat di barat Colorado pada Selasa petang, lapor agensi berita Xinhua memetik polis tempatan.

“7 atau mungkin 8 pelajar cedera. 2 penembak telah ditahan,” menurut Twitter pejabat syerif Douglas County yang dimuat naik kira-kira 2 jam selepas kejadian.

Kejadian berlaku 1.53 petang waktu tempatan.

Penolong syerif Douglas County Holly Nicholson-Kluth berkata, pihak berkuasa percaya tiada suspek lain setakat ini, namun pemeriksaan lanjut masih dijalankan di sekitar kawasan sekolah bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

Masih tidak dapat dipastikan sama ada suspek merupakan pelajar di sekolah terbabit katanya, tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai identiti penyerang.

Sementara itu, jurucakap Hospital Littleton Adventist, Wendy Forbes berkata, 5 mangsa sedang dirawat, seorang stabil manakala 4 lagi dalam keadaan serius.

Insiden berlaku di Sekolah Tinggi STEM Highlands Ranch, terletak kira-kira 32 kilometer dari pusat bandar Denver.

Terdapat hampir 1,850 pelajar di sekolah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.