Saksi: KWAP tidak cenderung beri pinjaman ke-2 pada SRC

Saksi: KWAP tidak cenderung beri pinjaman ke-2 pada SRC

Menurut saksi KWAP kenakan kadar faedah lebih tinggi untuk tidak menggalakkan SRC International mendapat pinjaman RM2 bilion.

Bekas naib presiden KWAP, Amirul Imran Ahmat.
KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mengenakan kadar faedah lebih tinggi untuk tidak menggalakkan SRC International Sdn Bhd mendapatkan pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion, seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini dalam kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan Najib Razak.

“Kami berharap menolaknya (daripada mendapat pinjaman),” kata bekas naib presiden KWAP Amirul Imran Ahmat ketika disoal balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Saksi ke-29 itu berkata, KWAP mencadangkan kadar faedah 4.6% setahun, yang lebih tinggi daripada yang dikenakan Khazanah dan Sekuriti Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, panel pelaburan KWAP meluluskan pinjaman kepada SRC kerana ia dijamin kerajaan Malaysia.

“(Jaminan) itu menjadi sebab mengapa pinjaman tersebut akhirnya diluluskan (pada 2012),” katanya.

Najib berhadapan dengan 6 pertuduhan mengubah wang haram dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaun beliau daripada SRC International, bekas syarikat di bawah 1MDB.

Beliau juga didakwa menyalahguna kuasanya sebagai perdana menteri ketika itu dengan memberi jaminan kerajaan untuk pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Pesaraan Diperbadankan.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan-kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Bhd, Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, antara 17 Ogos dan 10 Februari, Ogos 17, 2011, dan Februari 10, 2015.

Amirul diamanahkan menyiapkan kertas cadangan sebelum KWAP meluluskan RM4 bilion kepada SRC pada 2011 dan 2012.

Saksi itu berkata, bekas pengarah SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Terence Geh menyiapkan perancangan perniagaan kepada KWAP sebelum RM2 bilion itu diberikan.

Katanya, mereka kemukakan dokumen mengenai perancangan pelaburan SRC di Aabar, sebuah syarikat di Saudi Arabia, Indonesia dan Mongolia, tetapi tidak nampak mengagumkan.

“Saya tidak nampak keyakinan dalam pelaburan yang dirancang itu. Mereka tidak memberi jawapan terus kepada soalan dan (kandungan) dokumen-dokumen adalah cetek,” katanya.

Pada 27 Mac, 2012, perjanjian kemudahan pinjaman dimeterai dengan pengarah SRC ketika itu, Suboh Md Yassin dan ketua pegawai eksekutif KWAP, Azian Mohd Noh, menandatanganinya.

Najib, yang ketika itu menteri kewangan, menandatangani surat jaminan berkenaan bagi pihak kerajaan.

Perbicaraan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.