
Setiap individu khususnya golongan muda pasti menginginkan kelainan pada setiap hiasan rumah yang dimiliknya.
Mengambil kira 80% golongan muda memiliki rumah yang kecil sesuai dengan kemampuan masing-masing, ada yang masih lagi tidak tahu cara untuk menghias rumah dengan baik kerana ruangnya yang sempit dan terhad.






Beberapa cara dan teknik harus digunakan dalam hal ini, supaya rumah tampak luas dan susunannya teratur, padan dengan saiz rumah yang kecil.
Menurut Norazurra Aziz, pilihan warna aspek paling penting dalam hal ini.
Untuk terataknya di Pangsapuri Casmaria, Batu Caves, beliau memilih warna putih dan kelabu serta hiasan cermin untuk tampak lebih luas.
“Walaupun rumah kecil, ia masih boleh dihias. Beberapa teknik kita boleh gunakan supaya rumah yang kecil nampak luas. Warna paling penting pilih warna bumi lebih selamat.
“Banyak sudut di rumah saya pun menggunakan warna putih dan kelabu. Simen juga saya gunakan warna yang cerah, jadi ia tak nampak pun keluasannya seperti 900 kaki persegi,” katanya kepada FMT.
Dalam menghias rumah pula, barang tidak boleh terlalu besar kerana ia akan menghadkan barang lain yang penting untuk disusun dalam rumah.
“Contohnya, meja makan, saya membelinya pada saiz yang kecil dan sesuai dengan rumah. Harga pun baru RM300. Barang lain juga saya membelinya pada harga yang rendah.
“Untuk hiasan, saya banyak membeli barang murah di IKEA. Siapa yang biasa pergi ke IKEA mesti tahu barang apa yang murah dan mahal.




“Tidak semestinya di IKEA, barang-barang yang kreatif dan cantik ini anda boleh perolehinya di kedai DIY, KAISON, DAISO dan banyak lagi,” ujarnya.
Pilihan barangan yang menggunakan bajet yang kecil pastinya memberi idea golongan muda untuk menghias teratak kecil mereka.
Bagi Noorazzura beliau menggunakan laman sosial Instagram sebagai rujukannya untuk menghias rumahnya yang mempunyai 3 bilik, 2 bilik air.
“Selagi boleh jimat saya pasti akan berjimat kerana saya bukan seorang individu yang suka menghabiskan wang walaupun suka menghias rumah.
“Tak sampai RM50,000 pun saya habiskan untuk hiasan seperti ini,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]