
Adun Jemoreng, Juanda Jaya berkata, kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan keputusan untuk meminda Perkara 1(2), tetapi undi mereka menunjukkan sebaliknya.
“Mungkin mereka takut dilabelkan pengkhianat oleh rakyat Sarawak yang menyaksikan peristiwa bersejarah itu,” katanya di persidangan DUN hari ini.
“Mereka keliru, sama seperti kekeliruan mereka sama ada mahu memakai songkok atau tidak.
“Mereka tidak memakainya di Kuching tetapi berbuat demikian di Kuala Lumpur. Mungkin mereka takutkan Kuala Lumpur.”
Usul tersebut yang disokong sebulat suara oleh 47 Adun kedua-dua belah pihak, menyebut bahawa apa-apa pindaan terhadap Perkara 1(2) perlembagaan hendaklah mempunyai peruntukan yang jelas dalam melindungi hak dan perlindungan yang diberikan kepada Sarawak ketika ia bersetuju menyertai Malaysia.
Juanda mempersoalkan sumbangan PH kepada Sarawak setelah menjadi kerajaan persekutuan selama 1 tahun.
“Sewaktu Sarawak berdebat berhubung peruntukan untuk mitigasi banjir dan sistem perparitan tersumbat yang ditarik balik oleh Putrajaya, peruntukan untuk keretapi laju dan ‘kereta terbang’ diluluskan di Malaya.
“Kerajaan Sarawak mampu membelanjakan hampir RM10 bilion untuk projek pembangunan negeri. Apakah yang anda semua lakukan dalam kerajaan persekutuan?”
“Setakat yang saya tahu, mereka tidak berbuat apa-apa melainkan membatalkan projek,” katanya.
Juanda juga berkata, jika kerajaan persekutuan ikhlas mahu memulihkan status Sarawak dan Sabah, mereka harus kembalikan 40% hasil bersih Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (M63).