Rumah agam RM162 juta milik Jho Low di LA akan dijual

Rumah agam RM162 juta milik Jho Low di LA akan dijual

Pihak berkuasa AS bersedia memulangkan sejumlah AS$200 juta dana yang diperolehi kepada Malaysia, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Jho Low. (Bloomberg pic)
LOS ANGELES:
Pihak pendakwa Amerika Syarikat dan wakil ahli peniagaan Malaysia yang diburu, Low Taek Jho mahu menjual sebuah rumah agam bernilai AS$39 juta (RM162 juta) di Los Angeles yang dibeli pada 2012 dengan menggunakan wang yang didakwa dicuri daripada dana pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Rumah agam tak berpenghuni di kawasan mewah Sunset Strip itu semakin terbiar hari demi hari dan berdepan kos cukai, insurans dan penyelenggaraan berjumlah AS$690,000 setahun, kata peguam Jabatan Kehakiman AS dan syarikat pegangan Low dalam satu permohonan untuk menjual hartanah itu yang difailkan di Mahkamah Persekutuan di Los Angeles, Jumaat lepas.

Low, atau Jho Low, didakwa merupakan perancang kecurian wang berjumlah berbilion ringgit daripada 1Malaysia Development Berhad.

Pihak pendakwa berkata, wang tersebut digunakan untuk membeli hartanah di California dan New York, sebuah kapal layar mewah berharga AS$250 juta, lukisan Picasso dan Monet, sebuah jet peribadi dan barang kemas bernilai beberapa juta dolar AS untuk bekas teman wanitanya, Miranda Kerr.

Sesetengah aset yang mahu dirampas oleh kerajaan AS, termasuk pegangan Low dalam EMI Music Publishing, telah dicairkan atas perintah mahkamah dan hasil jualannya ditahan sementara menunggu kesudahan saman pelucutanhak yang difailkan.

Begitu jugalah rancangan terhadap rumah agam di Los Angeles itu: hasil jualannya akan menggantikan hartanah tersebut sebagai defendan dalam kes pelucutanhak kerajaan.

Pihak berkuasa AS bersedia memulangkan sejumlah AS$200 juta dana yang diperolehi kepada Malaysia, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Low yang menafikan sebarang salah laku, dikehendaki oleh pihak berkuasa AS dan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.