Panca warna gunung pelangi di Lanzhou wajib diterokai

Panca warna gunung pelangi di Lanzhou wajib diterokai

Lanzhou mempunyai 5 tarikan yang pastinya tidak akan mengecewakan sesiapa sahaja berkunjung ke China.

Apabila sebut sahaja China, sudah pasti yang terlintas di fikiran adalah salah satu 7 keajaiban dunia, iaitu Tembok Besar China yang menjadi lambang ikonik serta identiti negara berkenaan sejak sekian lama.

Namun bagi pencinta alam semula jadi mungkin ramai masih tidak tahu mengenai destinasi pelancongan di republik itu, Lanzhou, ibu negeri Wilayah Gansu.

Ini kerana Lanzhou mempunyai 5 tarikan yang pastinya tidak akan mengecewakan sesiapa sahaja berkunjung ke sana.

XINGLONG MOUNTAIN PARK

Taman ini menjadi pilihan paling tepat untuk mereka yang mahukan ketenangan dikelilingi hutan semula jadi yang menjadi habitat ratusan flora dan fauna.

Bukit Xinglong dan Bukit Qiyun dipisahkan dengan Lembah Xinglong serta jambatan Yunlong, namun anda boleh menaiki kereta kabel untuk panorama berbeza dan memukau pandangan.

MELIHAT KEAJAIBAN RAINBOW MOUNTAIN

Zhangye Danxia Geological National Park atau dikenali sebagai Gunung Pelangi dilabel sebagai lokasi tarikan pelancong tercantik di China.

Gunung aneka warna itu terjadi hasil hakisan batu pasir merah membentuk puncak pelbagai, ditambah pula dengan keadaan persekitaran seperti hakisan air dan angin sekali gus membentuk jaluran warna pelbagai tona.

MENYUSURI YELLOW RIVER DENGAN RAKIT TRADISIONAL

Yellow River antara sungai terpenting di China.

Sungai ini menjadi jalan perhubungan dan memakmurkan ratusan bandar di sepanjang tebingnya.

Mungkin ramai yang menyangka sungai ini tercemar dek warnanya yang keruh namun warna tersebut adalah warna selut yang mengalir di sepanjang sungai tersebut.

Untuk pengalaman sekali seumur hidup, pelancong boleh menyewa rakit kulit biri-biri dan menyusuri sungai seperti pada zaman dahulu kala.

MENJAMU SELERA DI PASAR MALAM ZHENGNING ROAD

Menyajikan aneka makanan jalanan dengan harga berpatutan, pasar malam ini menjadi tumpuan orang ramai untuk merasa sendiri juadah tempatan.

Antara hidangan popular adalah seperti daging biri-biri beserta perut, makanan cucuk-cucuk dan pastinya mee tarik.

Kacang walnut yang dikatakan terbaik di China juga boleh didapati di sini.

Memang patut ia dibeli dan dicuba sendiri.

MEE TARIK LANZHOU

Tidak sah kalau ke Lanzhou jika tidak mencuba hidangan mee tarik asli di wilayah itu.

Semangkuk mee dihidangkan dengan hirisan daging lembut, kuah berempah beraroma dan dihirup panas-panas, pastinya menambat selera sesiapa juga yang menikmatinya.

Hidangan ini popular di bandar berkenaan dan menjadi menu wajib ketika sarapan bagi warga tempatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.