
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) akan meneliti kaedah untuk memberi peluang kepada petani dan pekebun kecil menggunakan tanah tersebut bagi menambah pendapatan mereka di samping meningkatkan hasil pertanian negara.
“Menurut maklumat awal, terdapat banyak tanah milik kerajaan yang tidak dibangunkan selama ini dan tiada pelan pembangunan masa akan datang, jadi lebih baik kita bangunkan tanah ini untuk pertanian.
“MoA dengan kepakarannya akan menentukan kesuburan tanah itu untuk industri tertentu sektor pertanian,” katanya pada sidang media bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub selepas perbincangan strategik antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan MoA, di sini, hari ini.
Azmin berkata, imbangan dagangan makanan yang agak membimbangkan ketika ini menuntut kerajaan melihat potensi baru bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada makanan import di samping meningkatkan pendapatan petani.
Menurutnya, walaupun eksport makanan meningkat 2.2% pada 2018 berbanding 2017, namun dalam tempoh yang sama, import makanan turut meningkat pada kadar 3.5%.
“Ini menyebabkan defisit dalam sektor tertentu seperti gula dan madu sebanyak RM3.2 bilion, daging dan sediaan daging RM3.2 bilion, sayur-sayuran RM3.3 bilion, bijirin RM3.4 bilion dan ternakan RM3.9 bilion,” katanya.
Azmin berkata, langkah mengurangkan kebergantungan pada makanan import boleh dilaksanakan di Malaysia jika teknologi moden dan pendekatan baru digunakan bagi meningkatkan produktiviti.
“Sebab itu MoA mencadangkan beberapa tindakan segera, antaranya tanaman kontan, tanaman selingan serta integrasi dan kita gunakan pertanian moden sama ada hidroponik, aquaponik, fertigasi atau pertanian vertikal,” katanya.
Mengenai perbincangan hari ini, Azmin berkata, ia diadakan susulan pembentangan Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)” di Parlimen pada 10 April lepas yang membuka ruang untuk memperkenalkan tanaman baru yang mampu memberi hasil dalam tempoh singkat di bawah Program Hasil Baru.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa khas antara MEA dan MoA akan dibentuk, yang diketuai ketua setiausaha kedua-dua kementerian, bagi menggerakkan program itu yang melibatkan peruntukan RM1 bilion bagi tempoh 4 tahun dari 2019 hingga 2022.
“Kita juga bersetuju mengadakan latihan segera kepada generasi baru Felda yang terlibat dalam (proses) pemodenan sektor pertanian ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata, beberapa jenis tanaman yang boleh memberi hasil dalam jangka masa singkat seperti kunyit, halia, serai dan beberapa sayur-sayuran bernilai tinggi akan diusahakan secara sistematik di bawah program itu.
“Untuk tanaman kekal, kita akan lihat potensi durian, nangka madu J33 dan tanaman kontan yang kita rasakan penting untuk membantu industri ternakan binatang seperti jagung bijian yang boleh digunakan untuk makanan ternakan,” katanya.