Kajian: Ramai percaya Malaysia Baru berada di landasan betul

Kajian: Ramai percaya Malaysia Baru berada di landasan betul

Kajian Ipsos juga mendapati jumlah rakyat Malaysia yang percaya negara menuju haluan yang salah semakin bertambah secara perlahan-lahan.

Pengarah urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon (berdiri) ketika menyampaikan kajian syarikat itu berjudul ‘What Worries Malaysia: Is Malaysia Moving in the Right Direction?’.
KUALA KUMPUR:
Kajian terbaru sebuah syarikat penyelidikan pasaran antarabangsa mendapati lebih separuh rakyat Malaysia percaya negara masih berada di landasan yang bertul, beberapa hari sebelum hari ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Putrajaya.

Bagaimanapun pengarah urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon berkata, jumlah rakyat Malaysia yang percaya negara menuju haluan yang salah semakin bertambah secara perlahan-lahan.

“Apabila pandangan positif berubah mengikut realiti harian, lebih separuh rakyat Malaysia (57%) yakin dan percaya bahawa negara bergerak ke arah yang betul, berbanding 75% sejurus selepas pilihan raya umum ke-4,” katanya dalam penyampaian kajian berjudul “What Worries Malaysia: Is Malaysia Moving in the Right Direction?”

“Dalam keadaan sekarang, momentum persepsi bahawa Malaysia bergerak ke arah salah semakin meningkat, kira-kira 43% sekarang berbanding 25% sebelum ini.”

Kajian tersebut yang melibatkan 1,500 responden dalam temu bual bersemuka dan secara dalam talian juga mendapati jenayah dan keganasan merupakan kebimbangan utama rakyat berbanding rasuah tahun lepas, diikuti inflasi dan kos sara hidup.

“Keterujaan orang ramai berikutan keputusan pilihan raya umum mengendur selepas 1 tahun, tetapi rakyat Malaysia masih positif tentang hala tuju negara di bawah kepimpinan kerajaan sekarang,” kata Arun.

“Kebimbangan utama termasuklah harapan agar kerajaan tampil dengan lebih banyak langkah bagi menangani persepsi mengenai jenayah dan keganasan di negara ini, selain mengurangkan secara berkesan beban kewangan untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat.”

Ditemui selepas itu, Arun berkata, sebelum pilihan raya umum, golongan muda dan mereka yang bekerja umumnya bimbang tentang arah tuju negara, sementara anggota masyarakat lebih tua serta kumpulan berpendapatan sederhana bersedia menunggu berlakunya perubahan.

“Kesan perubahan dasar akan mengambil masa untuk dirasai perbezaannya, bagaimanapun kami tidak percaya anggota kumpulan ini bersedia untuk menunggu lebih lama,” katanya merujuk kepada golongan muda dan mereka yang berpendapatan rendah.

“Kami percaya langkah ke depan bagi kerajaan ialah memberi perhatian kepada kumpulan ini. Mereka berharap kerajaan PH berbuat lebih banyak. Akhirnya, kebimbangannya ialah mengenai kos sara hidup.”

Ketua perunding perniagaan Ipsos bagi Malaysia, Singapura dan Filipina, Kiramjit Singh berkata, tahap optimisme didapati merosot sejak pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

“Jika anda bertanya tentang apakah isu paling besar, dan sama ada kita bergerak ke arah yang betul, lebih 50% berkata mereka tidak pasti.

“Kadang-kadang mereka kata terdapat “terlampau banyak” maklumat. Wujud pelbagai mesej daripada individu berbeza. Justeru kerajaan perlu menyampaikan dasar ekonominya dengan lebih berkesan,” katanya kepada FMT.

Katanya, kajian itu juga mendapati kira-kira 70% rakyat percaya negara bergerak ke arah yang betul dari segi perniagaan.

“Ini bermakna sekiranya PH dapat membaiki atau mengukuhkan kaedah penyampaian mereka mengenai dasar perniagaan, ia adalah peluang bagi meningkatkan tahap keyakinan masyarakat tempatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.