
Kenyataan pejabatnya menyebut Abdul Mahdi mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu yang berkunjung ke Iraq, yang disifatkannya sebagai permulaan fasa baru kerjasama yang bakal memenuhi kepentingan kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu, Abdul Mahdi turut “menggesa agar kehadiran tentera Turki di Bashiqa tanpa kebenaran kerajaan Iraq dihentikan.”
Perdana menteri Iraq itu juga meminta ahli perniagaan dan syarikat Turki mewujudkan kilang serta kerjasama ekonomi di Iraq dalam bidang industri, perdagangan, pembinaan semula dan pertanian.
Bagi pihaknya, Cavusoglu menyerahkan sepucuk surat daripada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang turut menyertakan undangan kepada Abdul Mahdi untuk melawat Turki, menurut kenyataan itu tanpa memberikan butiran lanjut.
Menteri luar Turki itu juga menggesa kerjasama dalam mendepani pertubuhan pengganas dan mendedahkan kesediaan negaranya untuk menyediakan bekalan elektrik kepada Iraq.
“Kami gembira Iraq memperbaiki hubungannya dengan semua negara jiran dan kami berharap untuk menyelesaikan semua isu tertangguh antara Turki dan Iraq dalam suasana mesra dan secara langsung,” kata Cavusoglu.
Terdahulu pada hari yang sama, Cavusoglu tiba di Baghdad kerana mengetuai satu delegasi untuk bertemu para pegawai tinggi Iraq dan dijadualkan melawat bandar Basra dan Erbil, ibu kota wilayah separuh autonomi Kurdistan.
Sejak 2015, beratus-ratus tentera Turki ditempatkan di kem Bashiqa, kira-kira 30 km di timur laut bandar Mosul yang terletak di utara Iraq.
Kehadiran tentera Turki menyebabkan perselisihan antara Iraq dan Turki apabila Baghdad berulang kali menyatakan bahawa mereka mencabul kedaulatan Iraq dengan memasuki negara itu tanpa izin.
Bagaimanapun, Ankara berkata tentera Turki dihantar ke Bashiqa bagi melatih pejuang Peshmerga Kurdish dan sukarelawan puak tempatan bagi menentang militan Daesh di Mosul, yang sebelum ini dibebaskan daripada cengkaman militan ektremis itu pada Julai 2017 oleh tentera Iraq.