Maszlee pertahan tambah pelajar matrikulasi

Maszlee pertahan tambah pelajar matrikulasi

Keputusan Putrajaya dalam isu pengambilan pelajar ke program matrikulasi merupakan situasi “menang-menang”.

PUTRAJAYA: Maszlee Malik mempertahankan keputusan jemaah menteri menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi, mengatakan ia situasi “menang-menang” kerana memberi peluang kepada pelajar bukan Bumiputera dan mengekalkan kuota 90% untuk Bumiputera.

Menteri pendidikan berkata semua pelajar berhak mendapat peluang lebih baik apabila memohon untuk menyambung pelajaran menerusi program matrikukasi Kementerian Pendidikan.

“Kami percaya, semua pelajar berhak dapat peluang lebih baik untuk menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi,” katanya pada sesi khas bersama media di Kementerian Pendidikan hari ini.

“Disebabkan itu, kita beri lebih peluang kepada pelajar bukan Bumiputera. Tindakan ini tidak menjejaskan Bumiputera, kerana Bumiputera tetap terima kuota 90%.”

Maszlee menepis kritikan daripada gabungan pemerintah dan pembangkang sejak minggu lepas terhadap keputusan kerajaan menambah kemasukan pelajar matrikukasi daripada 25,000 kepada 40,000 orang.

Keputusan kontroversi itu menyaksikan penambahan sebanyak 13,500 tempat untuk pelajar Bumiputera dan 1,500 tempat untuk pelajar bukan Bumiputera mengikut kuota 90% untuk Bumiputera dan 10% untuk bukan Bumiputera.

Dasar pengambilan bagi 2019 juga menyaksikan 60% tempat diperuntukkan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 dan 40% tempat diperuntukkan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan golongan berpendapatan tinggi (T20).

Maszlee berkata Kementerian Pendidikan akan berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai jumlah peruntukan tambahan yang akan ditanggung Putrajaya susulan penambahan bilangan kemasukan pelajar matrikulasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.