AS tolak forum 6 pihak selesai isu senjata nuklear Korea Utara

AS tolak forum 6 pihak selesai isu senjata nuklear Korea Utara

Washington bersedia mengadakan sidang kemuncak ke-3 dengan Korea Utara berikutan kegagalan sidang kemuncak ke-2 Februari lepas.

Penasihat Keselamatan AS John Bolton berkata, langkah menghidupkan semula rundingan 6 pihak berkaitan isu pembasmian senjata nuklear Korea Utara bukan pendekatan pilihan Washington. (Gambar Bloomberg)
WASHINGTON:
Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) John Bolton pada Ahad berkata, langkah menghidupkan semula rundingan 6 pihak berkaitan isu pembasmian senjata nuklear Korea Utara bukan pendekatan pilihan Washington, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik Fox News.

Dalam satu temu bual dengan Fox News, Bolton disoal jika Presiden Donald Trump akan bersetuju dengan cadangan Presiden Rusia Vladimir Putin baru-baru ini bahawa rundingan 6 pihak, yang gagal pada 2009, dihidupkan semula untuk memecah kebuntuan rundingan pembasmian senjata nuklear antara Washington dan Pyongyang.

“Saya fikir ia bukan pilihan kami. Saya fikir (pemimpin Korea Utara) Kim Jong-Un, sekurang-kurangnya sehingga kini, ingin mengadakan hubungan satu ke satu dengan Amerika Syarikat, yang telah berjaya dicapainya,” kata Bolton.

Putin dan Kim mengadakan sidang kemuncak pertama mereka di Vladivostok, Rusia minggu lepas.

Pertemuan itu secara meluas dianggap sebagai sebahagian usaha Korea Utara mendapatkan pelepasan sekatan daripada kuasa besar lain susulan kegagalan sidang kemuncak kedua antara Kim dan Trump pada Februari lepas.

Bolton berkata, rundingan 6 pihak, yang membabitkan kedua-dua negara Korea, AS, Jepun, China dan Rusia, gagal menghapuskan program senjata nuklear Korea Utara, namun Washington tidak mengecualikan pihak berkepentingan lain daripada proses diplomatik.

“Ini tidak bermakna kami tidak berunding, seperti yang dilakukan presiden pada Jumaat dengan Perdana Menteri Abe dari Jepun. Kami berunding dengan pihak Rusia, China dan paling jelas, Korea Selatan.

Presiden Moon Jae In berada di sini hanya beberapa minggu lepas,” katanya.

Beliau juga berkata, Trump masih bersedia mengadakan sidang kemuncak ke-3 dengan Kim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.